Himpun Senjata Berdekad

Las Vegas (Amerika Syarikat) – Penembak di Las Vegas, Ahad lalu, yang membunuh 58 orang awam dan mencederakan ratusan yang lain sebelum membunuh diri dipercayai mengumpul senjata dan peluru sejak beberapa dekad lalu selain merancang serangan itu secara terperinci, kata pihak berkuasa, semalam.

Syerif Las Vegas, Joseph Lombardo berkata: “Stephen Paddock menghabiskan beberapa dekad mengumpul senjata dan peluru, selain menjalani kehidupan diselubungi rahsia yang mungkin tidak akan dapat dihuraikan sepenuhnya.”

Susulan itu, katanya, Paddock, 64, tidak mungkin bertindak seorangan. Pihaknya juga percaya lelaki itu merancang melarikan diri dari tingkat 32 Hotel Mandalay Bay selepas serangan ke arah festival muzik country Route 91, lapor Metro.

“Kami percaya dia berhenti menembak untuk memikirkan cara melarikan diri tetapi pasukan Khas Senjata dan Taktik (SWAT) terlebih dulu menyerbu biliknya.

“Melihat jumlah senjata serta letupan dimilikinya, tidak mungkin dia bertindak sendirian. Logiknya dia mempunyai rakan subahat dan kami perlu memastikan sama ada itu benar,” katanya.

Selain itu, dia meletakkan jumlah kecederaan cuma 489 orang, iaitu lebih rendah daripada 527 yang dinyatakan sebelum ini.

Sementara itu, jurucakap FBI Aaron Rouse menegaskan kejadian tiada kaitan dengan keganasan manakala tiada sesiapa ditahan sebagai rakan subahat Paddock.

Teman wanitanya Marilou Danley yang kembali ke AS dari Filipina untuk membantu siasatan juga dilaporkan tidak menghidu langsung rancangan Paddock.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.