Boy Iman Tidak Biaya Kontena 404

“PELAKON Datuk Boy Iman bukanlah pembiaya teater Kontena 404 yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada Oktober ini.”

Itu penjelasan Pengurus Besar DBI Entertainment, Lyana Zulkepli mengenai kontroversi membabitkan Boy Iman.

Katanya, kos pementasan sebanyak RM100,000 itu dibiayai oleh penaja dan penyumbang yang hanya akan diumumkan kelak.

“Apa pun, produksi terpaksa merahsiakan sumber penajaan teater ini disebabkan permintaan pihak berkaitan.

“Teater ini akan tetap diteruskan walaupun di luar sana heboh mengenai salah seorang lembaga pengarah syarikat ini yang diminta membantu siasatan polis,” katanya.

Katanya, kos keseluruhan itu membabitkan banyak sumber termasuk penajaan daripada syarikat luar.

“Apa yang boleh saya katakan sumber kewangan bukanlah daripada Boy Iman kerana kami hanya entiti di bawah kumpulan syarikatnya,” katanya.

Dia berkata demikian pada sidang media mengenai pementasan teatear arahan Raja Azrey di Istana Budaya di sini, hari ini.

Terdahulu, orang ramai meminta pementasan Kontena 404 yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 20 Oktober ini dihentikan susulan isu membabitkan kes penipuan pembelian rumah di bawah syarikat DBI Properties yang juga milik Boy Iman.

Sementara itu, Raja Azrey berkata, pihaknya tidak terkesan atau tertekan dengan isu yang berlaku sebaliknya lebih memikirkan persiapan dan latihan pelakon serta persiapan teater ini.

“Saya bukanlah tidak ambil kisah langsung tentang isu yang sedang tular tetapi fokus utama lebih kepada latihan dan persiapan pelakon menjelang pementasan.

“Tidak saya nafikan ada juga pelakon yang bimbang akan isu yang mereka dengar tetapi mereka lebih memilih untuk fokus terhadap latihan teater ini,” katanya.

Dalam pada itu Timbalan Ketua Pengarah Operasi Istana Budaya, Datin Noor Azah Omar memaklumkan, hingga kini pihak IB tidak menerima petisyen rasmi berkaitan bantahan dan hanya mengetahui perkara itu daripada wakil media.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.