BAM Tawar ‘Jawatan Kosong’

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuka pe­luang kepada bekas pemain yang memiliki kepakaran untuk mengisi jawatan jurulatih beregu lelaki negara yang dikosongkan oleh Jeremy Gan minggu lepas, lapor Kosmo.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, BAM mahu fokus kepada pencarian calon tempatan yang lebih memahami sikap dan pera­ngai pemain serta sistem pengurusan badan induk itu.

“Ramai lagi bekas pemain berkaliber dan sanggup bersama BAM, namun tanggungjawab ini saya serahkan kepada Cheah Soon Kit (ketua jurulatih beregu lelaki) dan beliau perlu penuhinya,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian tajaan dengan Daihatsu Motor Corporation di Kuala Lumpur semalam.

Norza berkata, beliau sudah mengarahkan Soon Kit untuk mencari pengganti Jeremy secepat mungkin dan tidak perlu menunggu notis tiga bulan tersebut tamat.

Buat masa sekarang, BAM mempunyai 17 pemain beregu dan lima pemain baharu menjadikan keseluruhannya 11 pasa­ngan beregu lelaki.

“Soon Kit diberi masa dua hingga tiga hari lagi untuk mengemukakan nama calon yang serasi dan boleh bekerjasama dengannya,” katanya.

Dalam pada itu, Norza memuji kesungguhan ditunjukan bekas ketua jurulatih negara, Yap Kim Hock yang dilaporkan media semalam bahawa beliau berminat kembali ke pangkuan BAM jika berhasrat mendapatkan khidmatnya.

Kim Hock, yang kini menjadi ketua jurulatih Kelab Badminton Peta­ling, pernah menjadi ketua jurulatih BAM selama empat tahun sehingga 2008 sebelum ditukarkan melatih pemain remaja di Sekolah Sukan Bukit Jalil selama empat tahun sehingga 2012

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.