Baddrol, Amirul Hisyam Kekal

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menafikan desas-desus bahawa dua pemainnya iaitu Baddrol Bakhtiar dan Amirul Hisyam Awang Kechik akan berhijrah ke kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Setiausaha Kehor­mat KFA, Datuk Ami­nuddin Omar berkata, perkara tersebut tidak benar dan ia tidak pernah dinyata­kan oleh pemain ber­kenaan kepada pengurusan KFA berhubung hasrat ingin meninggalkan pa­sukan Kedah, lapor Kosmo.

“Ini mungkin khabar angin yang datang dari sumber yang tidak sahih kerana belum ada pemain yang menyatakan hasrat untuk meninggalkan kelab kepada pihak pengurusan KFA.

“Kita telah mengadakan perbincangan bersama semua pemain sebelum ini dan kita nampak mereka masih berminat untuk terus menyarung jersi Kedah dan begitu juga KFA berminat untuk terus mengekalkan semua pemain,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman, Alor Setar semalam.

Beliau berkata demikian mengulas khabar angin tentang perpindahan Baddrol dan Amirul Hisyam ke JDT yang tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang surat berhubung hasrat Mohd. Nidzam Adzha Yusoff ingin menarik diri daripada ketua jurulatih Kedah.

“Kita masih menaruh kepercayaan kepada Mohd. Nidzam untuk terus membimbing pemain Kedah dan ingin saya nyatakan bahawa setakat ini di kem Kedah memang tiada be­rita berhubung dua perkara ini,” katanya.

Katanya, tumpuan utama pemain adalah untuk menghadapi baki perlawanan Piala Malaysia 2017 kerana semua pemain telah berjanji untuk mempertahankan dan mencatat kejayaan pada musim ini.

“Justeru, saya minta semua pemain untuk terus memberi tumpuan dalam baki perlawanan dan mencatat kejayaan demi peminat-peminat bola sepak Kedah,” katanya.

Kedah bakal bertemu Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada 15 Oktober ini bagi perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.