Sultan Nazrin Kecewa Bahasa Melayu Dipinggir PBT, Dunia Korporat

KUALA LUMPUR – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah semalam, melahirkan kekecewaan dengan syarikat besar diterajui Melayu yang semakin meminggirkan bahasa kebangsaan, sehingga bahasa Melayu hilang nilai komersil.

 
Sultan Nazrin juga turut menegur sikap pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak menghormati status bahasa kebangsaan, dengan memberi contoh nama pusat komersil dan taman perumahan yang lebih menggunakan bahasa Inggeris dan asing.

 
“Pada satu masa, atas dorongan semangat kemerdekaan yang memuncak, pelbagai pihak berkuasa tempatan telah menukar nama-nama jalan daripada nama tokoh-tokoh penjajah kepada para pemimpin tempatan,” katanya, petik Bernama.

 
“Hari ini, perkara yang terbalik sedang berlaku, semakin banyak kawasan perumahan, taman-taman, gedung niaga dan pusat pelancongan yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan, dinamakan dengan bahasa Inggeris.

 

 

“Hari ini, Pihak Berkuasa Tempatan bagaikan mangli, melihat papan tanda-papan tanda yang meminggirkan bahasa kebangsaan.”

 
Sultan Nazrin tidak menafikan kepentingan bahasa Inggeris, tetapi ia tidak harus dilakukan dengan memangsakan bahasa Melayu.

 
Katanya kaedah pembelajaran Inggeris di sekolah yang berubah-ubah juga memangsakan pelajar terutama anak Melayu.

 
“Anak Melayu bukannya tikus belanda untuk dijadikan bahan eksperimen sepanjang masa. Kaedah membolehkan bangsa menguasai bahasa Inggeris hendaklah diformulasikan secara betul.

 
“Dasar mudah digubal, tetapi sebelum sesuatu idea dijadikan dasar, wajiblah diteliti secara terperinci mekanisme pelaksanaannya. Selamilah sesuatu masalah secara mendalam, agar bertemu dengan mutiara penyelesaian yang lebih berkesan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.