SPRM Jumpa Wang RM750,000, Barang Kemas Milik Isteri Suspek

KUALA LUMPUR – Susulan penahanan Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah pada Selasa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemukan wang tunai RM750,000 selepas membuka lima peti simpanan milik isteri seorang daripada suspek.

 

Selain wang tunai, sejumlah barangan kemas turut dijumpai dalam peti terbabit di dua bank di Kota Kinabalu, namun nilainya belum dapat ditaksirkan.

 

Perkara itu disahkan Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki kepada Astro AWANI.

 

Sehingga Rabu, SPRM telah merakam percakapan enam individu yang dipercayai dapat membantu siasatan.

 

Kesemua mereka merupakan kakitangan Jabatan Air dan syarikat yang dipercayai menerima kontrak Jabatan Air Negeri Sabah.

 

SPRM juga mengenal pasti lebih 40 saksi bagi membantu siasatan.

 

Tambah Datuk Azam, suspek pertama bergelar pengarah disyaki menggunakan lebih 17 syarikat yang dimiliki oleh adik beradik dan proksi.

 

Manakala suspek kedua iaitu timbalan pengarah disyaki menggunakan 21 syarikat milik adik beradiknya.

 

Setakat ini, tiada ahli keluarga mana-mana suspek yang melarikan diri ke luar negara dan mereka juga akan dipanggil untuk membantu siasatan dalam masa terdekat.

 

SPRM juga akan mendapatkan kerjasama negara lain melalui bantuan perundangan bersama untuk mendapatkan maklumat berhubung akaun bank yang dimilik suspek di luar negara.

 

Pada Rabu SPRM menyita wang tunai lebih RM10 juta yang disembunyikan dalam rumah, pejabat dan kenderaan milik suspek.

 

Sebahagian daripada wang tunai iaitu kira-kira tiga juta ringgit ditemui dalam peti besi di pejabat seorang daripada suspek, manakala selebihnya susulan penggeledahan di rumah dan kenderaan. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.