Rangka Helikopter Nuri Dibawa Keluar Dari Kawasan Sekolah

TAWAU – Rangka helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang melakukan pendaratan cemas sebelum terhempas di bumbung dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung, pada Selasa lalu, dikeluarkan pagi tadi.

 

Tinjauan BH di sekolah berkenaan mendapati, kerja-kerja mengalih dan mengeluarkan rangka helikopter terbabit dijalankan seawal jam 8 pagi selepas ditangguhkan semalam.

 

Sebuah kren bersama dua treler panjang bersaiz besar digunakan untuk mengangkut rangka utama iaitu badan helikopter, manakala sebuah lagi treler sederhana digunakan untuk mengangkut bahagian enjin pesawat.

 

Operasi itu dijalankan oleh sepasukan anggota TUDM bersama kakitangan dan pengendali kren swasta yang dilantik. Sementara itu, difahamkan sesi persekolahan di SMK Balung akan dibuka semula pada Isnin ini selepas kerja pembersihan sisa serpihan bangunan dijalankan sepenuhnya hari ini.

 

Dalam kejadian jam 9.05 pagi kelmarin, sebuah helikopter Nuri milik TUDM mendarat cemas di bumbung dewan terbuka SMK Balung menyebabkan 22 orang cedera iaitu 13 anggota TUDM dan lapan pelajar serta pekerja pembersihan SMK Balung. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.