Pelajar Perubatan Dilapor Hilang, Dijumpai Selamat Di Masjid

SIBU – Kegelisahan satu keluarga selepas kehilangan anak perempuan yang menuntut dalam jurusan perubatan di sebuah kolej swasta di sini sejak kelmarin, berakhir apabila pelajar itu ditemukan dalam keadaan selamat di sebuah masjid semalam.

 

Kehilangan Siti Fatimatuzzahrah Bumidin, 25, menjadi viral selepas ibu bapanya memuat naik status mengenai kehilangan gadis itu di laman sosial dan meminta bantuan orang ramai untuk mengesannya.

 

Pelajar tahun akhir jurusan perubatan itu gagal dikesan oleh keluarganya dan kali terakhir dilihat pada pukul 1 petang, kelmarin.

 

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Saiful Bahri Abdullah memberitahu, selepas dua hari dilaporkan hilang, pelajar itu telah dijumpai oleh datuknya dalam keadaan selamat di Masjid An Nur, Jalan Awang Ramli Amit, di sini kira-kira pukul 2 petang semalam.

 

“Datuk kepada Siti Fatimatuzzahrah, Shafii Adil, 84, yang baru tiba di Sibu dari Kuala Lumpur telah tergerak hati mencari cucunya di kawasan masjid kerana mendapat tahu cucunya selalu ke masjid apabila mempunyai masalah.

 

“Pesara terbabit kemudian menjumpai cucunya di Masjid An Nur dan terus membuat laporan polis selepas itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

 

Menurutnya, Siti Fatimatuzzahrah telah dibawa ke Hospital Sibu untuk menjalani pemeriksaan sebelum diambil keterangan dan diserahkan kepada keluarganya.

 

Difahamkan, pelajar berasal dari Rapat Setia, Ipoh, Perak itu membawa diri ke masjid berkenaan dan gagal dikesan kerana berasa tertekan dengan peperiksaan yang dihadapi.

 

Sementara itu di IPOH, Perak, ibu bapa Siti Fatimatuzzahrah, lega selepas anak mereka ditemukan dalam keadaan selamat.

 

Bapa pelajar berkenaan, Bumidin Tahir, 51, yang bekerja sebagai Pembantu Hal Ehwal Islam di Masjid Negeri dekat sini dan isterinya Hazila Shaffii, 48, bersyukur anaknya itu ditemukan dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecederaan.

 

Bumidin berkata, dia mengetahui mengenai penemuan anak sulungnya itu yang sedang menjalani latihan di Hospital Sibu di dalam sebuah masjid di Sibu setelah dihubungi seorang anggota polis dari Balai Polis Sibu kira-kira pukul 2.25 petang ini.

 

‘‘Semalam datuk dan emak saudara Fatimatuzzahrah telah ke Sibu dan mereka menemukan anak kami di dalam sebuah masjid di Sibu dalam keadaan keletihan.

 

‘‘Alhamdulillah, syukur kerana tiada perkara buruk berlaku dan anak saya ditemui dalam keadaan selamat,’’ katanya ketika ditemui di rumahnya di Rapat Setia di sini semalam.

 

Tambah Bumidin, dia percaya anaknya menghilangkan diri kerana mengalami tekanan dalam pelajaran.

 

‘‘Dia tak ada masalah kewangan tetapi mungkin sebab runsing tidak boleh belajar kerana dia sentiasa mahukan sesuatu yang cemerlang dalam setiap yang dia lakukan,’’ katanya.

 

Menurut Bumidin, Siti Fatimatuzzahrah yang merupakan anak sulung daripada tujuh beradik kali terakhir pulang ke rumahnya pada Hari Raya Aidilfitri lalu.

 

Katanya, mereka sekeluarga mengetahui tentang kehilangan Siti Fatimatuzzahrah daripada pihak Segi College yang memaklumkan bahawa anaknya tidak menghadiri peperiksaan pada Isnin lalu.

 

Kata Bumidin, beliau akan bertolak ke Sarawak bersama isterinya pagi esok untuk melihat sendiri keadaan anaknya itu.

 

Siti Fatimatuzzahrah sebelum ini melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Mesir selama empat tahun sejak 2009 sebelum menyambung pengajian di Segi College.

 

Dia kemudian meneruskan pengajian dan latihan industri di Hospital Sibu sejak tahun lalu. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.