Kerajaan Kelantan Pemalas, Hanya Tahu Tebang Balak – Zaid Ibrahim

PETALING JAYA – Datuk Zaid Ibrahim berkata Kelantan sebuah kerajaan yang malas apabila menjadikan aktiviti penebangan balak sebagai sumber utama negeri.

 

Bekas ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, kerajaan negeri Kelantan dilihat mengambil jalan pintas untuk mendapatkan sumber hasil negeri, seolah-olah tidak ada sumber lain yang boleh menggantikan balak.

 

“Dia kerajaan yang malas. Maksudnya tidak ada usaha lain. Jadi, dia cari jalan mudah dan tidak ada usaha lain yang dilakukan. Pada saya tiada alasan.

 

“Dahlah balak semua disapu (ditebang), tidak ditanam semula. Itu alasan mereka (kerajaan Kelantan) saja. Dah tahu royalti tidak dapat dari dulu lagi, sepatutnya dia buat usaha lain,” katanya kepada FMT.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah semalam yang aktiviti pembalakan di Kelantan boleh dihentikan jika kerajaan pusat membayar royalti minyak mengikut perjanjian asal.

 

Ketika bercakap kepada FMT, timbalan menteri besar itu berkata balak adalah hasil utama negeri dan pembalakan di Gua Musang bukan pencerobohan kerana ia mempunyai konsesi di Hutan Simpan Kekal Balah.

 

Zaid berkata kerajaan negeri Kelantan harus menjadikan negara seperti Norway, Sweeden dan Finland sebagai contoh jika mahu penebangan balak terus dilakukan.

 

“Di negara lain, mereka ambil kemudian tanam semula. Tetapi di Kelantan tahu ambil saja. Jadi, itu masalahnya. Usah salahkan minyak.

 

“Yang dia (kerajaan Kelantan) tahu tutup baju ketat perempuan, itu yang dia sibuk. Kerajaan harus fikir berdasarkan ekonomi, usah fikir pasal baju ketat,” katanya.

 

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Hanafi Mamat berkata jawapan Amar mengenai isu balak sebagai hasil utama hanya seperti menjawab di ‘kedai kopi’.

 

Hanafi berkata jawapan Ammar itu terlalu ‘simplistik’ walaupun hakikatnya ia memberi kesan jangka panjang buat Kelantan.

 

“Kelantan perlu mencari alternatif baharu untuk menjana pendapatan. Eksploitasi hasil bumi yang berpanjangan menjejaskan kehidupan rakyat, hidupan liar dan alam sekitar.

 

“Banjir besar 2014 perlu diambil iktibar. Sektor baharu perlu difikirkan dan ditingkatkan seperti sektor pelancongan, pembuatan, ICT, penternakan, pertanian, pendidikan dan makanan,” katanya.

 

Rabu lalu, seorang Orang Asli nyaris terputus kakinya ketika 160 Orang Asli dan Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) cuba mempertahankan penghalang jalan daripada dirobohkan 30 lelaki bersama 3 anggota polis berseragam di penempatan Orang Asli Pos Simpor, dekat Gua Musang.

 

Setiausaha JKOAK Mustafa Along, 29, bersama 2 lagi Orang Asli, iaitu Manglo Tegau, 24, dan Salim Tegau, 31, turut ditahan kerana enggan bekerjasama, tetapi sudah dibebaskan. – Fmt

One thought on “Kerajaan Kelantan Pemalas, Hanya Tahu Tebang Balak – Zaid Ibrahim

  • October 6, 2016 at 4:22 pm
    Permalink

    bukan pemalas…tapi bodoh….pak lebai nak tadbir negeri…setakat jaga surau boleh la..

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.