Azizan Osman Dakwa ‘Diperdaya’ Miliki Ijazah Kehormat UM

KUALA LUMPUR ― Penceramah motivasi niaga Azizan Osman telah diperdaya oleh pihak tertentu yang tidak mewakili Universiti Malaya (UM), kata syarikatnya Richworks.

 

“Kami telah dimaklumkan bahawa Dr Azizan telah malangnya disasarkan dan diperdayakan oleh pihak-pihak yang bukan wakil universiti tersebut,” kata syarikat di Facebook hari ini.

 

“Kami sudah pun membuat laporan polis dan perkara ini sedang disiasat.”

 

Setelah didedah di media sosial bahawa beliau tiada ijazah doktor kehormat universiti itu, UM pada 29 September lalu turut menafikan pernah menganugerahkan gelar tersebut.

 

Namun Richworks mengakui syarikat tersebut ada kelemahannya apabila nama penceramah aspek keusahawanan itu dikatakan memiliki dua lagi ijazah kedoktoran dari universiti tempatan.

 

“Malangnya, kelemahan ini menyebabkan penggunaan ijazah kedoktoran dari Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai rujukan kepada Dr Azizan yang tidak pernah beliau akui,” kata syarikat itu lagi.

 

Sehari selepas UM menafikannya, UKM dan IUKL juga menolak tanggapan ia pernah memberi gelar tersebut.

 

Syarikat tersebut bagaimanapun tetap menegaskan Azizan masih memiliki ijazah kedoktoran dalam sains metafizik dari Gordon University di Florida, Amerika Syarikat sejak 2009.

 

Richworks juga menyatakan Azizan dalam proses mendapatkan satu lagi gelaran doktor falsafah, kali ini dalam bidang psikologi di Universiti Hertfordshire, United Kingdom.

 

“Konvokesyen beliau di Universiti Hertfordshire dijangka berlangsung dalam masa yang terdekat,” kata syarikat itu.

 

Mengulas kelemahan syarikat itu sehingga gelaran Azizan berkecamuk, Richworks menyatakan ia “telah melaksanakan satu pelan komprehensif untuk membetulkan situasi ini dengan kadar yang segera”.

 

“Kami berkomited terhadap menegakkan integriti organisasi kami dan berdedikasi untuk meningkatkan prosedur kami untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami,” katanya. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.