Video: Suami Belasah, Tetak Isteri Dengan Parang

KUALA LUMPUR – Satu rakaman video CCTV memaparkan aksi ganas dua lelaki membelasah dan menetak seorang wanita dengan parang beberapa hari lepas sedang viral di media sosial.

 

Kejadian ganas tersebut berlaku di Port Dickson, Negeri Sembilan dan salah seorang lelaki yang terlibat merupakan suami kepada wanita malang itu.

 

Memetik laporan portal berita FMT, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baharudin Mustapha mengesahkan pihak polis telah menahan kedua-dua suspek lelaki berumur 24 dan 26 tahun itu di Plaza Tol Mambau.

 

“Suspek yang menyedari mereka diekori memecut masuk ke Plaza Tol Mambau sehingga melanggar pengadang tol lalu keretanya tersekat di kaunter pembayaran dan anggota polis berjaya menahan mereka,” katanya.

 

Menurut Baharudin lagi, hasil pemeriksaan lanjut pihak polis berjaya menemui dua bilah parang dalam kereta suspek yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa.

 

“Salah seorang suspek adalah suami mangsa dan kedua-dua mereka direman selama empat hari untuk membantu siasatan.

 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 kerana mendatangkan kecederaan parah,” katanya lagi. – SuaraTV

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.