PM Tuntut Liong Sik Mohon Maaf

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak memberi tempoh tujuh hari kepada bekas Presiden MCA, Tun Dr. Ling Liong Sik memohon maaf kepadanya atau berdepan tindakan undang-undang kerana memfitnah beliau menyalahgunakan dana pelaburan kerajaan bagi tujuan peribadi.

 

Tindakan tersebut diambil atas kapasiti peribadi Perdana Menteri berikutan kenyataan Liong Sik dalam akhbar Malay Mail bertajuk ‘MCA’s Liong Sik joins call for Najib’s ouster for allegedly putting people’s money in his own pocket’ dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

Menurut peguam Perdana Menteri, Datuk Mohd. Hafarizam Harun, kenyataan fitnah bekas Menteri Pengangkutan dalam akhbar berbahasa Inggeris itu membawa maksud bahawa Najib telah menyalahgunakan dana pelaburan kerajaan ke dalam akaun peribadi beliau untuk kepentingan sendiri.

 

Jelasnya, surat tuntutan permohonan maaf itu telah dihantar semalam kepada Liong Sik melalui Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

 

“Kenyataan itu juga membawa maksud bahawa pelanggan kami (Najib) menyalahgunakan amanah yang diberikan oleh rakyat Malaysia dengan menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi syarikat pelaburan negara, 1MDB dan juga sebagai pemimpin negara.

 

“Ia juga membawa maksud pe­langgan kami tidak cekap, terlibat dalam skandal kewangan untuk menipu rakyat Malaysia serta tidak layak menjadi Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang mengandungi 13 parti politik termasuk MCA,” kata Mohd. Hafarizam dalam kenyataan di sini semalam.

 

Dalam kenyataan di Malay Mail pada Sabtu lalu, Liong Sik mahu Najib berundur daripada jawatannya dengan menuduh Perdana Menteri dalam isu 1MDB ‘mengambil duit orang lain dan memasukkannya ke akaun peribadi’.

 

Mohd. Hafarizam dalam pada itu berkata, tuduhan bekas Pre­siden MCA tersebut adalah satu fitnah dan telah merosakkan reputasi Perdana Menteri, selain cenderung untuk merendahkan beliau dalam pemikiran masyarakat.

 

“Ia adalah arahan pelanggan kami bahawa anda dengan niat jahat mengeluarkan kenyataan tidak benar dan fitnah, hingga mencemarkan reputasi pelanggan kami di dalam dan luar negara,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.