Pegawal Keselamatan Didakwa Pedaya SPRM Guna Dokumen Palsu

Kuala Lumpur – Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan memperdaya seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggunakan dokumen palsu, tiga tahun lepas.

 

Shahjehan Abdul Rahim, 47, yang bertugas di sebuah kolej swasta, didakwa melakukan kesalahan itu di bilik 303, JRL Hotel, Jalan Raja Laut, di sini, 2 Ogos 2012.

 

Dia didakwa menyerahkan 20 dokumen palsu sebagai dokumen yang sah dengan niat memperdaya Penolong Penguasa SPRM Nik Lokman Hakim Nik Mohd Nor setelah diarahkan berbuat demikian mengikut Seksyen 32(2)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

 

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 89 akta yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda tidak melebihi RM1 juta atau kedua-duanya.

 

Timbalan Pendakwa Raya Robert Pasang Alam menawarkan wang jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin, tetapi tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jaminan atas alasan dia berpendapatan rendah dan perlu menyara lima anak.

 

Hakim Allaudeen Ismail membenarkan Shahjehan diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

 

Mahkamah menetapkan 4 Nov ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen dan pelantikan peguam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.