Palangkaraya, Jambi Di Indonesia Diselimuti Jerebu Bahaya

JAKARTA – Daerah Palangkaraya di Kalimantan Tengah dan Jambi di Sumatera masih diselimuti jerebu tebal pada tahap berbahaya walaupun bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kedua-dua daerah itu sering naik turun.

 

Menurut laman web Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG), bacaan IPU di Palangkaraya selama tiga jam hari ini iaitu dari 10 pagi hingga 1 tengah hari, menunjukkan penurunan daripada 1,000 kepada tahap sederhana di bawah 100.

 

Bagaimanapun mulai pukul 2 petang tadi bacaan IPU di situ kembali melonjak kepada tahap berbahaya iaitu 774.

 

Bacaan IPU di Palangkaraya pernah melebihi 2,000 dan ia telah melumpuhkan semua aktiviti harian dan ribuan masyarakat di situ didakwa mengalami pelbagai jenis penyakit berkaitan pernafasan yang dipercayai berpunca akibat jerebu.

 

Di Jambi pula bacaan IPU naik turun sekitar 500-600 iaitu bacaan pada tahap berbahaya dan keadaan jerebu di daerah itu masih belum pulih sejak dua bulan lepas akibat kebakaran tanah gambut.

 

Kerajaan Indonesia dikatakan telah mengerahkan beribu anggota tentera menjalankan kerja memadam kebakaran hutan dan ladang serta membasahkan tanah gambut yang didapati sentiasa mengeluarkan asap kerana mengalami kebakaran sedalam kira-kira tiga meter di bawah tanah. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.