Malaysia Tidak Akan Tandatangan TPPA Jika Langgar Perlembagaan – Mustapa

KUALA LUMPUR – Malaysia telah meraih beberapa konsesi meng­untungkan daripada negara-negara terlibat dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada perbincangan yang diadakan di Atlanta, Amerika Syarikat (AS) yang berakhir semalam.

 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihak-pihak terlibat bersetuju untuk mengambil kira hampir semua kebimbangan dan sensitiviti Malaysia terutamanya dalam bidang perolehan kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC) dan isu-isu bumiputera.

 

Katanya, unsur-unsur kelonggaran diberikan kepada Malaysia termasuk tempoh peralihan lebih lama dan layanan berbeza untuk perkara-perkara sensitif di negara ini.

 

Beliau menegaskan, Malaysia tidak akan terlibat dalam perjanjian tersebut jika ia melanggar Perlembagaan negara atau menjejaskan dasar-dasar teras yang dimulakan oleh kerajaan untuk memberi manfaat kepada rakyat.

 

“Sama ada Malaysia menandatangani TPPA (atau tidak) hanya akan diputuskan selepas perbincangan penuh dan meluas di dalam negara. Biar saya tegaskan bahawa sama ada Malaysia akan terlibat dalam TPPA, ia akan menjadi keputusan kolektif.

 

“Apabila teks lengkap dan rasmi perjanjian itu disediakan, ia akan berada dalam domain awam dan dibentangkan di Parlimen untuk perbahasan. Kami juga akan me­ngadakan rundingan penuh dengan pihak-pihak yang berkepentingan dan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

 

Beliau berkata, perundingan berhubung TPPA yang mencapai persetujuan semalam di Atlanta itu menandakan tamatnya rundingan perjanjian berkenaan yang bermula pada 2010.

 

Barisan menteri negara terlibat bersama semua ketua perunding masing-masing telah bekerja sepanjang masa sejak 30 September selepas perundingan peringkat ketua perunding mesyuarat dijalankan sejak 26 September.

 

Negara-negara terlibat TPPA ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS dan Vietnam.

 

Mustafa berkata: “Dalam perja­lanan rundingan, saya telah mengambil bahagian daripada 30 September hingga 1 Oktober lalu, saya berkomunikasi secara berterusan dengan Perdana Menteri, mengemas kini kepada beliau mengenai kemajuan serta mencari petunjuk dan mandat untuk memastikan kedudukan dan kepentingan Malaysia dilindungi.

 

“Walaupun selepas saya mening­galkan Atlanta untuk penugasan rasmi di Milan dan Istanbul, saya terus memantau perbincangan dan sentiasa berunding dengan Perdana Menteri dan disampaikan bimbing­an beliau serta-merta kepada ketua perunding kami dan pasukannya di Atlanta,” kata beliau. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.