FAM Didenda RM180,000 Dan Kemenangan Kepada Arab Saudi

Kuala Lumpur – Persatuan Bola sepak Malaysia FAM) terpaksa berdepan dengan hukuman denda, 40,000 Swiss francs (RM180,000), satu perlawanan tanpa penonton dan kemenangan 3-0 kepada Arab Saudi, ekoran kekacauan yang dilakukan penyokong pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 baru-baru ini.

 

Menurut kenyataan yang disiarkan di laman web rasmi FIFA, Jawatankuasa Disiplin badan induk itu turut memberikan surat amaran kepada FAM berikutan kekacauan penonton yang serius.

 

Kekacauan itu dilakukan oleh penyokong yang menggelarkan mereka Ultras Malaya di Stadium Shah Alam, pada 8 September lalu.

 

“FAM didapati bertanggungjawab atas kelakuan penyokong mereka, dan dalam kes ini, ia melanggar artikel 6 perenggan 5 Peraturan Piala Dunia Rusia FIFA, artikel 56, artikel 65, 67 perenggan 1 dan artikel 67 perenggan 3 Kod Disiplin FIFA, serta artikel 4 perenggan 2, artikel 29 perenggan 1 (b) dan artikel 2 Annexe C Peraturan Keselamatan Stadium FIFA.

 

“Prosiding disiplin membabitkan beberapa insiden termasuk bom asap dan suar yang berlaku dalam Stadium Shah Alam yang menyebabkan perlawanan dihentikan pada minit ke-88,” kata FIFA dalam kenyataan.

 

Menurut FIFA, keputusan itu dibuat selepas menganalisis semua keadaan, khususnya laporan pegawai perlawanan, kedudukan FAM serta rakaman video dan gambar berkaitan serta tahap keseriusan insiden berkenaan.

 

Berikutan keputusan itu, Malaysia akan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di laman sendiri pada 17 November di dalam stadium tanpa penonton.

 

“FAM telah dimaklumkan mengenai keputusan Jawatankuasa Disiplin FAM pada Isnin,” tambah kenyataan itu. – Bernama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.