Perlu Ikhlas Dan Adil Guna Akta Hasutan – Pak Lah

Kuala Lumpur – Pelaksanaan setiap undang-undang yang ada di negara ini tidak akan berjaya sekiranya tidak dilakukan dengan ikhlas, kata bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Lah berkata, dengan keihklasan, undang-undang yang tidak sempurna akan diterima dan boleh diguna pakai, namun tanpa keihlasan, sebaik mana pun sesebuah undang-undang itu, ia akan tetap gagal.

“Banyak isu melibatkan keikhlasan, termasuk juga isu Akta Hasutan 1948 yang hangat dibincangkan masa kini.

“Tiada gunanya kita menggubal undang-undang yang lebih bagus jika pelaksanaan undang-undang tersebut tidak dilakukan secara adil dan ikhlas.

“Kalau kita ikhlas, undang-undang yang kurang sempurna pun boleh digunapakai dan boleh membawa manfaat. Kalau kita tidak ikhlas, maka undang-undang yang baik pun boleh membawa mudarat,” katanya melalui blog paklah.net hari ini.

Abdullah yang mentadbir negara dari 2003 hingga 2009 berkata undang-undang adalah ciptaan manusia dan masih mempunyai kelemahan serta tidak akan mencapai kesempurnaan seratus peratus dalam pelaksanaannya.

Beliau yang kemudiannya digantikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, lebih ramai individu yang mengkritik orang lain tanpa mengakui kesilapan diri sendiri.

“Kebelakangan ini juga saya lihat ramai individu kerap mengkritik secara lantang dan menuding jari ke arah orang lain di atas sesuatu perbuatan atau kesalahan yang mereka sendiri lakukan di masa lampau.

“Walaupun kritikan itu berbunyi munasabah tetapi ianya tidak diterima umum dan dipandang sinis,” katanya.

“Saya tidak bermaksud yang seseorang yang melakukan kesilapan di masa lampau langsung tidak berhak menegur orang lain.”

Bekas perdana menteri sebelum Abdullah, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyatakan secara terbuka kritikan beliau terhadap Najib yang dilihatnya begitu lembut dalam mengambil sebarang tindakan.

Dr Mahathir juga berkata beliau menarik balik sokongan kepada Najib kerana perdana menteri itu tidak mengambil iktibar prestasi buruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya 2013.

Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu bagaimanapun menafikan beliau ingin Najib meletakkan jawatan sebagai perdana menteri melalui kritikan-kritikannya itu.

“Tetapi kalau kita ingin menegur dan mengkritik orang lain pandanglah diri sendiri dan mengakulah akan kesilapan sendiri dahulu,” kata Abdullah.

Abdullah turut memberi peringatan betapa pentingnya peranan ikhlas dalam sesebuah permuafakatan dan memberi amaran tanpa keikhlasan, muafakat tidak akan bertahan lama.

“Tiada jenis pakatan akan berpanjangan jika kita tidak ikhlas bermuafakat. Tiada makna berganding bahu jika jalan tak seiring.

“Lambat-laun orang akan tahu juga sama ada ianya berniat untuk membangunkan negara atau semata-mata untuk meraih sokongan,” katanya.

Beliau juga turut memohon maaf kerana melakukan banyak kesilapan pada masa lalu.

“Saya sendiri pun melakukan banyak kesilapan. Kalau kesilapan saya menyinggung atau mengecewakan orang lain, saya meminta maaf.

“Saya tahu yang ungkapan ‘buat apa yang saya suruh dan bukan apa yang saya lakukan’ tidak boleh diterima orang,” katanya.

Abdullah turut memberi peringatan supaya menegur mana-mana kesilapan orang bawahan dan bukannya hanya membidas kesilapan orang luar.

“Selain itu, kita juga tidak patut membidas perbuatan melampau orang luar tetapi membenarkan perangai buruk sesetengah anak buah kita berterusan tanpa teguran. Ini pun tidak ikhlas.

“Jadi saya nasihatkan mereka semua ini untuk menerima hakikat yang walau apa yang mereka cakap itu munasabah ia akan dipandang sinis dan tak akan diterima rakyat jika ianya tidak diiringi dengan keikhlasan.

“Biarlah keikhlasan mendahului segala perbuatan dan percakapan kita, agar ianya membawa manfaat dan kebaikan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.