Nenek Maut Cuba Selamat Cucu

Sandakan – Seorang warga emas maut dirempuh kereta, ketika cuba menyelamatkan cucunya yang melintas di Batu 2, Jalan Lintas Utara, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Zabidi Mohd Zain, berkata dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Garatiah, 70 tahun, cedera parah di kepala dan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Duchess Of Kent.

Zabidi berkata, cucu perempuan mangsa, Nurbayah Saptal yang berusia lima tahun turut cedera parah di kepala dan masih menerima rawatan di unit rawatan rapi hospital sama.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika sebuah kereta Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah bandar Sandakan ke Batu 7, terlanggar kedua-dua mangsa yang berada di tengah jalan pada masa itu,” katanya.

Jelasnya, kemalangan itu berlaku, apabila cucu Garatiah tiba-tiba berlari melintas dari kiri ke kanan jalan, dengan wanita itu cuba menyelamatkan cucunya, sebelum kedua-duanya dilanggar. Pemandu kereta berusia 30 tahun itu menghantar mangsa ke hospital, sebelum membuat laporan polis berhubung nahas itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.