Laporan Trafik, Lancar Sempena Cuti

Kuala Lumpur –  Aliran trafik di Lebuhraya PLUS dilaporkan lancar setakat jam 9.45 pagi semalam berikutan kebanyakan warga kota sudah pulang ke kampung sempena perayaan Aidiladha yang disambut semalam.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik PLUS berkata, tiada kesesakan lalu lintas dilaporkan, antaranya di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Utara-Selatan dan keadaan ini dijangka berterusan sehingga tengah hari.

“Bagaimanapun, terdapat satu kemalangan kecil dilaporkan pada pukul 8.35 pagi di KM45 dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) menghala ke persimpangan Nilai Utara. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya ketika dihubungi.

Menurut laman Twitter PLUS Expressways Bhd, trafik turut lancar di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Butterworth-Kulim (BKE), Seremban-Port Dickson (SPDH) dan di Jambatan Pulau Pinang.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, trafik turut lancar di kebanyakan lebuh raya bertol di Lembah Klang termasuk di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Pantai Baru (NPE).
“Terdapat satu kemalangan membabitkan motosikal di KM289.2 dari arah Gopeng ke Simpang Pulai dilaporkan jam 9.49 pagi, bagaimanapun tiada lorong terhalang dan trafik lancar,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta www.twitter.com/llminfotrafik. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.