Kumpulan Pertama Dibawa Pulang Rakyat Malaysia Dari Sana’a Berlepas Hari Ini

Kuala Lumpur – Kumpulan pertama rakyat Malaysia dijangka berlepas dari Sana’a, ibu negara Yaman untuk pulang ke Malaysia hari ini, menurut Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, kerajaan memutuskan untuk membawa balik rakyat Malaysia yang terjejas di sana berikutan keadaan semasa di Yaman dan sebagai langkah berjaga-jaga.

Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Luar Negeri bersama-sama Kedutaan Malaysia di Sana’a sedang bekerjasama dalam menyelaras operasi berkenaan.

“Kerajaan melalui kedutaan, telah menyediakan tempat tinggal sementara kepada 449 rakyat Malaysia sejak 19 September. Kedutaan itu akan terus menyediakan bantuan kepada semua rakyat Malaysia dengan bantuan Persatuan Pelajar Malaysia di Yaman (PERMAYA) sehingga mereka selamat pulang ke Malaysia,” katanya.

Konflik terbaharu Yaman berlaku berikutan pertempuran antara pergerakan Syiah Houthi dan tentera kerajaan yang menyaksikan pemberontak berjaya menguasai beberpa institusi penting di ibu negara itu.

Sementara itu, kementerian juga menasihatkan semua rakyat Malaysia supaya mengelak atau menangguhkan perjalanan ke Yaman kerana keadaan yang masih tidak menentu.

“Kementerian juga meminta kerjasama rakyat Malaysia yang masih berada di Yaman untuk mendaftar dengan kedutaan jika mereka masih belum berbuat demikian,” katanya.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Yaman menerusi talian 009671429781 dan 009671429782 atau emel mwsanaa@kln.gov.my.

Menurut kenyataan itu, ketika kerajaan Malaysia menyambut baik perjanjian damai baru-baru ini, diharapkan semua pihak dapat menghormati perjanjian perkongsian dan perdamaian di Yaman yang ditandatangani pada 21 September serta bekerjasama ke arah kestabilan politik dan keamanan di negara itu.

Sementara itu, jurucakap Wisma Putra ketika dihubungi Bernama memaklumkan rakyat Malaysia yang terbabit akan dibawa pulang menaiki pesawat domestik dari Yaman dengan transit di Jeddah dan Dubai sebelum tiba di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai waktu penerbangan dan jumlah rakyat Malaysia yang akan dibawa pulang, belum diketahui.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.