Facebook FIFA ‘Diserang’, Penyokong Malaysia Desak FIFA Bertindak Ke Atas Indonesia

KUALA LUMPUR – Sejak petang semalam, Facebook rasmi FIFA ‘diserang’ oleh penyokong Malaysia yang mahu badan bola sepak dunia itu mengambil tindakan terhadap Indonesia ekoran peminat Harimau Malaya dibaling batu sejurus tiba di Stadium Bung Karno untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2022, malam tadi.

Setakat pagi ini, hampir 30,000 komen dihantar oleh peminat yang tidak gembira dengan layanan yang diterima pemain dan pasukan negara dalam kempen Kumpulan G itu.

Tidak setakat dibaling batu, aksi pada babak kedua turut dicemari insiden penyokong tuan rumah cuba menceroboh ke kawasan penonton Malaysia dan bertindak membaling suar.

Akibatnya perlawanan yang berkesudahan Harimau Malaya menang 3-2 itu dihentikan hampir 10 minit.

Dua penyokong Malaysia dilaporkan mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut, dan salah seorang terpaksa diusung keluar dari stadium.

Sejurus tamat perlawanan, pemain Malaysia terpaksa dibawa menaiki kereta perisai barracuda untuk pulang ke hotel penginapan bagi mengelak gangguan penyokong tuan rumah.

Kumpulan penyokong Malaysia juga lewat meninggalkan stadium dan dibawa keluar menggunakan bas khas yang disediakan.

“Kehadapan Presiden, Mr. Gianni Infantino.

“Saya percaya anda sudah dimaklumkan oleh pegawai bawahan anda tentang perkembangan semasa di Indonesia. Penyokong Malaysia telah diganggu dengan cara paling tidak berperikemanusiaan oleh penyong hooligan Indonesia.

“Sebagai penganjur perlawanan berprestij ini, saya harap FIFA mengambil tindakan tegas terhadap Indonesia. Insiden tragik ini tiada tempat dalam bola sepak moden,” antara komen yang dihantar pengguna akaun, Ei Zmie.

“Tolong ambil tindakan serius terhadap apa yang berlaku di Indonesia ketika ini.

“Penyokong Malaysia dibaling batu dan objek keras memasuki Stadium Bung Karno untuk perlawanan Malaysia dan Indonesia.

“Kami mengharapkan tindakan sewajarnya diambil oleh pihak kamu (FIFA). Bola sepak sepatutnya menyatukan negara tetapi apa yang berlaku di sini adalah sebaliknya,” tulis Athia Aliya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.