Turun Majoriti Pun Dah Beri Kemenangan Moral – Zahid

BALAKONG: UMNO memberi bayangan rakan sekutunya MCA sukar memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, sebaliknya melihat usaha mengurangkan majoriti undi sebagai ‘kemenangan’ kepada pembangkang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jika MCA mampu meningkatkan jumlah undi dan mengurangkan majoriti undi diterima calon Pakatan Harapan (PH) itu pun sudah memberi kemenangan moral kepada Barisan Nasional (BN).

“Dalam PRK Balakong ini kita tak kira istilah menang atau kalah.

“Apa yang penting jika kita dapat turunkan jumlah undi dan jumlah majoriti kepada calon PH, itu pun satu kemenangan moral kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap selepas melawat Bilik Gerakan MCA PRK DUN Balakong di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalannya , Datuk Seri Wee Ka Siong, Setiausaha MIC Selangor, Datuk N Rawisandran dan calon MCA Balakong, Tan Chee Teong.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, beliau amat yakin jika MCA dapat mengurangkan majoriti undi PH dan meningkatkan undi mereka, ia memberi isyarat kuat kebangkitan semula BN sebagai sebuah kerajaan pada masa hadapan.

“Saya kagum dalam kepayahan MCA, MIC dan tentunya UMNO, semangat kita tidak pernah luntur malah semakin meningkat untuk membela rakyat.

“Walaupun buat pertama kalinya MCA menggunakan lambang sendiri ada PRK semangat BN tetap utuh membara sebagai parti yang menganggotai BN,” katanya.

Kerusi DUN Balakong kosong selepas penyandangnya Ng Tien Chee meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 11.7 Lebuhraya Grand Saga pada 20 Julai lalu.

Tien Chee terbunuh selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail dipandunya merempuh bahagian belakang sebuah lori pencuci jalan menyebabkan mendiang maut serta merta di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Pada pilihan raya umum lalu, Tien Chee berjaya mengekalkan kerusi DUN Balakong untuk penggal kedua selepas menewaskan BN dan PAS dengan majoriti besar 35,538 undi. – BERITA HARIAN

One thought on “Turun Majoriti Pun Dah Beri Kemenangan Moral – Zahid

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.