Tasha Manshahar Sukar Tidur Menjelang Hari Pernikahan

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Tasha Manshahar, 25, yang bakal diijabkabulkan, Sabtu ini mengakui, sukar melelapkan mata sejak beberapa minggu lalu memikirkan tarikh hari bersejarahnya yang semakin hampir.

Tasha yang bertemu jodoh dengan penyanyi, Fahrur Raqib Abdul Majid, 28, berkata dia bingung membuat pelbagai persediaan pada saat akhir, selain bimbang terlepas pandang beberapa butiran penting.

“Semakin dekat tarikh nikah dan resepsi, semakin berdebar-debar dibuatnya. Kerisauan itu ia lebih kepada persediaan kerana bimbang jika ada saudara atau kenalan yang tidak mendapat undangan.

“Soal berdebar menuju peralihan fasa itu lumrah dilalui setiap bakal pengantin. Cuma, setakat ini, saya belum terasa apa-apa lagi. Mungkin terlalu sibuk menguruskan hal kenduri.

“Walaupun keluarga dan kawan rapat banyak membantu, saya tidak boleh lepas tangan. Setiap hujung minggu, saya berulang antara Melaka dan Kajang, Selangor untuk memastikan persiapan berjalan lancar,” katanya.

Majlis pernikahan pasangan itu bakal disempurnakan pada jam 9.30 pagi di sebuah masjid di Masjid Jamek Kajang, Sabtu ini dengan hanya dihadiri keluarga dan kenalan terdekat, manakala resepsi berlangsung di Shah Alam, keesokan hari.

Majlis di sebelah pengantin lelaki yang juga qari, penyampai radio dan bekas peserta Akademi Fantasia (AF) 9 itu direncanakan pada 22 September ini di Melaka.

Pasangan yang berkenalan ketika menjayakan rakaman lagu kira-kira dua tahun lalu itu mengikat pertunangan pada Disember lalu.

Ditanya mengenai bakal teman hidupnya yang belum pernah didedahkan sebelum ini, Tasha memaklumkan, dia tidak berniat merahsiakan identiti jejaka itu.

“Sebenarnya, soal pertunangan lebih manis jika dirahsiakan kerana belum ada ikatan yang sah. Lagipun, apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh itu.

“Kami ingin menjaga kesejahteraan ikatan pertunangan dan menanti masa yang sesuai untuk mengumumkannya. Tetapi jika ada yang tahu, saya terbuka. Rasanya, identiti bakal suami saya itu bukan rahsia lagi,” katanya.

Tasha yang popular menerusi lagu Ragu-Ragu dan Bukan Aku sudah tidak lagi aktif menyanyi, sebaliknya memberi tumpuan kepada tugas sebagai guru dan penceramah motivasi.

Raqib pula sebelum ini pernah menghasilkan single bersama kumpulan UNIC, Bintang Syurga selain muncul dengan album, Luahan Rasa pada 2014. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.