Tanah Rizab Melayu Tinggal 12% – MPM

SHAH ALAM: Tanah Rizab Melayu (TRM) di seluruh negara kini hanya tinggal 12 peratus sahaja berbanding 50 peratus sebelum ini.

Perkara itu didedahkan bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar yang kini Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Beliau berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati pengurangan sebanyak 38 peratus itu berlaku sejak dua tahun lalu.

“Banyak TRM ini diambil untuk dibuat jalan, buat itu, buat ini tetapi tidak digantikan semula. Ada yang mahu diganti tetapi ada pihak lain yang berpakat untuk tidak menggantikan tanah yang diambil.

“Ini bukan konspirasi tetapi nak senang. Sesetengah tanah ini masih milik kerajaan, belum jadi hak Melayu tetapi bila dah ambil tidak mahu pulang semula,” katanya kepada media selepas menjadi panel dalam Konvensyen Karamah Bangsa anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, hari ini.

Konvensyen berkenaan turut disertai Pengamal Undang-Undang, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan Pro Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayub dengan Penyandang Kerusi Institusi Raja-Raja Melayu, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling, sebagai moderator.

Berikutan itu, Haniff berkata Pengerusi Biro Integriti MPM, yang juga bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tan Sri Zaman Khan, merancang bertemu kepemimpinan kerajaan Pakatan Harapan selain menghadap Majlis Raja-Raja Melayu.

Beliau berkata, TRM tidak boleh dicagarkan tetapi kini banyak tanah terbabit yang sudah dicagarkan kepada pihak bank.

“Jika ikut kepada undang-undang, sekiranya pembeli tidak tahu tanah berkenaan adalah TRM, itu bukan salah dia tetapi jika tahu dan masih menerima untuk membeli, maka terbatal perjanjian terbabit.

“TRM ini termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan. Tanah negeri dibahagi kepada dua, sebahagian adalah tanah rizab Melayu dan sebahagian tanah untuk bangsa lain tetapi Melayu boleh minta.

“Kita mesti pertahankan hak kita kerana tiada siapa yang nak pertahankan malah sanggup beralah dengan bangsa lain,” katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz mencadangkan supaya kerajaan menjadikan isu hak orang Melayu sebagai satu pembelajaran di peringkat sekolah.

Katanya, dengan langkah berkenaan, pelajar pada masa akan datang akan faham mengenai Perlembagaan Persekutuan dan keistimewaan orang Melayu.

“Kerajaan patut ada penjelasan kepada orang ramai berkenaan kandungan penting dalam Perlembagaan Persekutuan memandangkan kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum.

“Jika semua pihak faham, kita dapat kawal keadaan. Sekarang ini merbahaya, di mana-mana orang akan persoalkan pelbagai benda,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.