Ramli Sarip tolak duet dengan BBNU

KUALA LUMPUR – Penyanyi lagenda, Datuk Ramli Sarip mendedahkan pernah menolak beberapa pelawaan untuk berduet dengan penyanyi-penyanyi baharu yang digelar sebagai Budak Baru Nak Up (BBNU).

Walaunbagaimanapun penolakan itu dibuatnya dengan cara yang baik kerana berpendirian bahawa lagu-lagu yang ditawarkan untuk dinyanyikannya tidak sesuai dengan dirinya.

“Sebenarnya saya ada menerima beberapa tawaran untuk berduet dengan penyanyi BBNU tetapi lagu yang diberikan itu tidak sesuai.

“Saya bersedia untuk berduet dengan penyanyi baru ini tapi biarlah lagu yang diberikan itu sesuai dan tidak hanya menampakkan seorang penyanyi sahaja yang menyerlah.

“Memang saya kena memilih lagu yang sesuai serta dengar dahulu lagu tersebut dan jika tidak sesuai saya akan meminta penyanyi itu untuk berduet dengan penyanyi lain,” katanya.

Ramli berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Doa Buat Kekasih 30th Anniversary Tour 2018 di Loka Nu Sentral, Kuala Lumpur.

Penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Teratai itu turut berpesan kepada penyanyi generasi baru agar tidak segan dan malu untuk menyanyikan lagu berunsur puisi kerana ia menggambarkan susur galur masyarakat Melayu.

“Saya cuma mahu berpesan kepada mereka jangan berasa malu untuk mencuba genre baru seperti puisi dalam karya-karya mereka,” tambahnya.

Sementara itu, menjelang konsert yang bakal diadakan pada 6 Oktober ini, Ramli berkata, beliau dan rakan gandingannya, Datuk Khatijah Ibrahim akan mencetuskan momen terindah bagi penonton yang hadir menyaksikan konsert ini di Istana Budaya nanti.

“Antara lagu yang akan kami persembahkan nanti ialah lagu-lagu yang telah tersimpan selama 30 tahun tetapi tidak dapat dipersembahkan kepada khalayak sebelum ini. Saya dan Khatijah akan berduet dan ia akan disampaikan dengan perasaan dan jiwa penuh kemelayuan,” katanya lagi.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.