Najib Terkejut Tuduhan Guan Eng

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang baki akhir Akaun Hasil Disatukan hanya RM450 juta pada April lalu sebagai tidak masuk akal.

Bekas Perdana Menteri berkata, ia kerana baki Akaun Hasil Disatukan bagi tahun 2017 saja berjumlah RM18.064 bilion dalam bentuk wang tunai dan simpanan tetap.

Malah, Najib turut menegaskan yang jumlah baki akhir Akaun Hasil Disatukan pada setiap bulan adalah sekitar RM18 bilion sehingga RM20 bilion.

Katanya, penjawat awam yang memproses pengurusan aliran wang juga akan memastikan jumlahnya mencukupi untuk menjadi penampan bagi tempoh dua bulan bagi tujuan membayar gaji penjawat awam dan pencen pesara.

“Saya tidak pernah melihat penyata April dan ‘amat terkejut’ dengan tuduhan Guan Eng yang baki Akaun Hasil Disatukan pada akhir bulan April hanya RM450 juta.

“Walaupun penyata akaun bulanan ini tidak didedahkan dan saya tidak boleh lagi meminta untuk merujuk penyata ini, pada pengetahuan saya, baki untuk akhir Mac 2018 juga sekitar RM18 bilion. Mustahil baki ini turun daripada RM18 bilion kepada RM450 juta pada bulan April saja.

“Setiap bulan ada aliran wang masuk dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta beberapa sumber lain, oleh itu baki RM450 juta ini langsung tidak masuk akal.

“Adakah Menteri Kewangan juga ‘main hantam’ lagi apabila membuat tuduhan begitu mengejutkan ini dan sekadar mahu mengelak daripada mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai ‘rompakan’ RM35 billion wang GST dan LHDN seperti saya minta demi mencari kebenaran siapa sebenarnya yang menipu,” katanya dalam satu entri di Facebook hari ini.

Semalam, Guan Eng mendedahkan aliran tunai kerajaan hanya berjumlah RM450 juta sehingga 30 April lalu, kira-kira dua minggu sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau menyanggah kenyataan Najib sebelum ini yang menyatakan kerajaan Barisan Nasional (BN) meninggalkan sejumlah RM42 bilion dalam akaun berkenaan.

Guan Eng berkata, susulan jumlahnya hanya RM450 juta, kerajaan terpaksa memperkenalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kerana kerajaan tidak memiliki cukup wang.

Najib turut berkata, penyata kewangan bulanan kerajaan biasanya disiapkan pada 15 hari bulan dan bagi April, penyata kewangan itu disiapkan pada 15 Mei, selepas kerajaan diambil alih Pakatan Harapan (PH).

“Semua aliran masuk atau keluar wang dari akaun kerajaan akan dicatat dan ada buktinya. Jika Menteri Kewangan tegas dengan pendiriannya baki pada April jatuh kepada RM450 juta, beliau boleh merujuk kepada pengaliran wang ini dan tidak perlu tanya saya ke mana wang itu pergi,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.