Malaysia Perlu Bayar RM45 Juta Kepada Singapura Kerana Tangguh Projek HSR

KERAJAAN Malaysia dikehendaki membayar kos penangguhan sebanyak Dollar Singapura 15 juta (RM45.1 juta) kepada Singapura sebelum Januari tahun depan susulan penangguhan Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Perkara itu diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada sidang media bersama Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, beliau tidak mahu mengulas mengenai kos pembatalan projek kerana kerajaan masih kekal dengan komitmen untuk meneruskan projek berkenaan.

Dalam pada itu, Boon Wan berkata, kos penangguhan itu mengambil kira kos pemindahan utiliti yang sudah dilaksanakan pihaknya.

Terdahulu, Malaysia dan Singapura hari ini menandatangani Surat Sampingan HSR bagi persetujuan bersama menangguhkan projek berkenaan selama dua tahun sehingga Mei 2020.

Mohamed Azmin dan Boon Wan mewakili kerajaan masing-masing menandatangani Surat Sampingan berkenaan yang turut disaksikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Timbalan Perdana Menteri; Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Perdana Menteri Singapura yang Menteri Penyelaras Keselamatan, Teo Chee Hean.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan, dalam tempoh penangguhan itu, Malaysia dan Singapura akan terus melakukan perbincangan berterusan bagi mencari jalan terbaik melaksanakan projek itu pada kos lebih murah. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.