Majikan Perlu Patuh Akta Kerja dan Ordinan Buruh Berkaitan Hari Kelepasan Am

PUTRAJAYA – Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada Ahad ini telah diisytiharkan sebagai hari kelepasan am di bawah Seksyen 3 Akta Hari Kelepasan Am 1951.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Sumber Manusia berkata hari kelepasan am itu adalah termaktub sebagai hari cuti umum yang wajib diberi kepada pekerja menurut Seksyen 60D(1)(a)(ii) Akta Kerja 1955.

“Memandangkan hari kelepasan am tersebut jatuh pada hari Ahad, Seksyen 60D(b)(i) Akta Kerja 1955 memperuntukkan hari bekerja berikut selepas sahaja hari rehat tersebut hendaklah menjadi hari kelepasan berbayar sebagai ganti bagi hari kelepasan am.

Dengan itu, 10 September (Isnin) adalah cuti umum bagi negeri-negeri selain daripada negeri-negeri Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu,”katanya.

Manakala bagi negeri-negeri Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu di mana hari Ahad merupakan hari bekerja, maka cuti umum yang jatuh pada 9 September 2018 (Ahad) tidak perlu diganti, menurut kenyataan itu. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.