Gangguan Bekalan Elektrik Di Johor Baharu Kembali Pulih

JOHOR BAHRU: Gangguan bekalan elektrik di sekitar Johor Bahru, Tampoi dan sebahagian kawasan Tebrau yang berlaku sejak tengah hari tadi pulih sepenuhnya pada jam 7.40 malam tadi.

Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor, Datuk Baderul Sham Saad, berkata kira-kira 10,000 pengguna yang terjejas sejak tengah hari tadi kini kembali mendapat bekalan elektrik.

Katanya, beberapa kawasan kritikal seperti Hospital Sultanah Aminah (HSA) juga dilaporkan tidak terjejas ekoran gangguan bekalan elektrik berkenaan.

“Bekalan pulih 95 peratus pada jam 7.15 malam tadi sebelum pulih sepenuhnya pada jam 7. 40 malam,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Terdahulu, Baderul Sham memaklumkan gangguan bekalan yang berlaku berpunca akibat daripada kerosakan di Pencawang Masuk Utama 132/33kVJohor Bahru City Center (JBCC) bermula pada jam 1.04 tengah hari tadi.

Tengah hari tadi, beribu pengguna jalan raya di bandar raya ini tersangkut apabila hampir semua lampu isyarat tiba-tiba rosak akibat tiada bekalan elektrik.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari ketika kebanyakan orang ramai keluar mengambil anak pulang sekolah atau pergi berehat tengah hari.

Bagaimanapun, hanya satu kes terperangkap di dalam lif dilaporkan, namun tiada sebarang kecederaan.

Kata Baderul Sham, kesulitan atas gangguan bekalan elektrik itu amat dikesali dan untuk mendapatkan maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan TNB di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.