Bandaraya Johor Bahru Terputus Bekalan Elektrik Sejak Tengahari

JOHOR BAHRU — Pusat bandar Johor Baharu dan kawasan sekitarnya mengalami gangguan bekalan elektrik sejak pukul 1.04 tengah hari tadi dengan bekalan masih belum pulih sehingga pukul 4 petang ini.

Pengurus Besar TNB Johor Datuk Baderul Sham Saad berkata bekalan terputus ekoran kerosakan pencawang masuk utama (PMU) pusat bandar di Jalan Datuk Abdul Rahman Andak, di sini.

Gangguan elektrik itu sedikit sebanyak menyusahkan orang ramai dalam meneruskan aktiviti harian mereka. Lampu isyarat di Jalan Tebrau yang menghubungkan kawasan Taman Pelangi, Taman Century dengan pusat bandar tidak berfungsi menyebabkan kesesakan yang teruk.

Bagaimanapun hospital, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, dan kebanyakan bangunan komersial dan yang lain terus beroperasi menggunakan janakuasa sokongan.

“Gangguan melibatkan 10,000 akaun pengguna. Antara yang terjejas adalah bangunan Komtar, Bangunan Sultan Iskandar yang menempatkan kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Balai Polis Sentral, Bangunan JB Sentral, Hospital Sultanah Aminah, Taman Century dan Jalan Yahya Awal,” katanya yang dihubungi di sini, hari ini.

Pihak TNB sedang menyiasat punca kerosakan dan usaha sedang dilakukan bagi memulihkan bekalan elektrik secara berperingkat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais yang dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan gangguan bekalan elektrik itu.

Beliau berkata pihaknya bagaimanapun tidak menerima sebarang laporan kemalangan jiwa atau kematian akibat gangguan terbabit.

“Bekalan kuasa terputus untuk sementara waktu di Bangunan Sultan Iskandar dan JB Sentral, sementara bekalan kuasa sedang dijana oleh generator di situ.

“Maklumat diterima daripada pihak TNB bahawa mereka sedang membuat pembaikan dan mungkin mengambil masa satu hingga dua jam untuk memulihkan bekalan,” katanya.

Pengarah Hospital Sultan Aminah Dr Aman Rabu yang dihubungi Bernama berkata gangguan bekalan elektrik tidak menjejaskan operasi hospital berkenaan kerana bangunan hospital mempunyai bekalan sokongan.

“Bekalan elektrik hanya terputus beberapa seketika, namun, HSA kemudian menggerakkan operasi dengan bekalan elektrik sokongan,” katanya.

Pengarah Bomba Johor Othman Abdullah turut mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berhubung gangguan elektrik itu termasuk kes orang terperangkap di dalam lif. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.