42 Anggota Geng 360 Devan Dihukum Penjara Setahun

KUALA LUMPUR – Seramai 42 daripada 57 lelaki yang sebelum ini didakwa menganggotai kumpulan jenayah terancang ‘Geng 360 Devan’ dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Tinggi yang bersidang di Kompleks Penjara Kajang dekat sini hari ini.

Kesemua 57 tertuduh terbabit sebelum ini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang tidak membolehkan mereka diikat jamin.

Seramai 42 tertuduh dijatuhi hukuman tersebut setelah masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan mengikut Akta Pertubuhan 1966 yang dibacakan dalam bahasa Tamil kepada mereka di hadapan Hakim Datuk Abd. Halim Aman dari Mahkamah Shah Alam.

Sejumlah 14 lagi tertuduh mengaku tidak bersalah manakala seorang tertuduh dilepas tanpa dibebaskan selepas pihak pendakwaan menarik balik kes terhadapnya.

Hakim Abd. Halim memutuskan demikian selepas Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad memaklumkan, kesemua pertuduhan terhadap mereka sebelum ini mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan iaitu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng 360 Devan’ telah dipinda kepada Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Bagi pertuduhan pindaan, mereka didakwa menjadi anggota ‘Geng 36’ yang merupakan pertubuhan menyalahi undang-undang di MV Empayer Sdn. Bhd., No. 1-B, Jalan Perniagaan Masria 1, Pusat Perniagaan Masria, Batu 9, Cheras, di sini antara 2013 dan 2017.

Terdahulu, Hakim Abd. Halim memerintahkan 14 tertuduh yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan asal mereka di bawah SOSMA dan kes mereka akan diambil alih oleh majistret.

Disebabkan isu keselamatan, prosiding dijalankan di Kompleks Penjara Kajang apabila sebuah bilik mesyuarat (mes pegawai kanan) diubah suai menjadi mahkamah terbuka yang menyerupai bilik mahkamah sebenar.

Ini merupakan kes yang pertama kali dibicarakan di mahkamah khas di Kompleks Penjara di Semenanjung kerana sebelum ini kes pencerobohan Lahad Datu, Sabah telah diadakan di Penjara Pusat Kota Kinabalu pada 2016.

Terdahulu, ahli keluarga kesemua tertuduh dan para pengamal media ditempatkan di sebuah dewan bagi mengikuti prosiding perbicaraan menerusi tayangan projektor.

Kawalan ketat dijalankan oleh pegawai-pegawai penjara sebelum ahli keluarga dan pengamal media memasuki dewan berkenaan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.