Tular Kes Culik Budak Adalah Tidak Benar

POLIS Mersing hari ini menolak dakwaan yang tular di media sosial malam semalam, kononnya seorang kanak-kanak diculik di sekitar bandar itu.

Ketua Polis Daerah Mersing Deputi Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, polis memulakan siasatan sebaik mendapat laporan daripada orang awam.

“Hasil siasatan dengan keluarga kanak-kanak itu, kami dapati ia bukan kes culik seperti yang ditularkan pengguna media sosial termasuk Facebook (FB).

“Ia sebenarnya berlaku disebabkan masalah keluarga dan kami sudah menasihatkan semua pihak supaya menyelesaikannya dengan baik.

“Kejadian membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun dan sudah diserahkan kepada penjaga yang sah. Berikutan itu tiada sebarang kejadian jenayah, kami menganggap kes ini selesai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, polis sentiasa berusaha menjaga keamanan dan mengalu-alukan maklumat orang ramai.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya berharap pengguna media sosial tidak menularkan kejadian yang belum disahkan bagi mengelak panik.

“Kami berharap orang ramai menyalurkan maklumat tepat dan pantas mengikut saluran betul seperti menghubungi balai polis berhampiran bagi membolehkan kami menjalankan siasatan.

“Namun janganlah menularkan kejadian yang belum pasti atau disahkan bagi mengelak panik di kalangan penduduk sedangkan kejadian itu tidak berlaku,” katanya.

Semalam, tular di media sosial mendakwa seorang wanita mengejar sebuah kereta yang melarikan anak perempuannya di bandar Mersing.

Bagaimanapun, siasatan mendapati ia berlaku disebabkan masalah keluarga dan bukan kes culik. – Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.