Saifuddin Enggan Ulas Warkah Anwar Dari Penjara

KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan (PH), Datuk Saifuddin Abdullah enggan mengulas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar rundingan antara PKR dan PAS diteruskan ‘dalam kerangka Pakatan Harapan’.

Malah beliau bertegas PH tetap berkeputusan menutup pintu rundingan dengan PAS dan bersedia untuk pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

“Majlis Setiausaha tak nak komen kenyataan Anwar itu.

“Kita berpegang kepada mesyuarat majlis Presiden pada 28 Ogos lalu,” katanya ringkas dalam sidang media di Ibu Pejabat Amanah semalam.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Ketua Umum PKR itu yang dikeluarkan Biro Politik PKR, sabtu lalu.

Anwar menerusi warkah itu mengesahkan beliau mempersetujui usaha Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berunding dengan PAS bagi membentuk kerjasama pakatan bagi menumbangkan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam PRU14.

Ujar Anwar, jikapun rundingan PKR-PAS membuahkan hasil ia tetap akan berlaku dalam ‘kerangka komitmen PKR dengan PH’.

Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 29 Ogos lepas sudahpun memuktamadkan gabungan itu menutup pintu rudingan dengan PAS dan bersedia untuk pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya akan datang.

Ketua Penerangan PKR Syed Ibrahim Syed Noh pula memberitahu warkah Anwar itu tidak perlu disensasikan mana-mana pihak.

“Kenyataan tu sudah keluar, bagi saya kita terima itu saja. Kalau kita buat spekulasi atau andaian-andaian memang tiada kesudahan. Jadi saya terima sekadar itu.

“Kita komited kepada apa yang dibuat dalam PH, urusan lain terserah kepada kebijaksanaan pemimpin tapi jangan lari daripada komitmen untuk PH (bahawa) tiada kerjasama dengan PAS dalam PRU14.

“Sebab tu dalam sidang media hari ini kita kata perbincangan kerusi hanya dalam PH. Tak timbul isu nak bagi kerusi pada PAS,” ujar beliau.

Warkah Anwar itu mencetuskan polemik apabila Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan bekas Ahli Seumur Hidup PKR, Badrul Hisham Shaharin mendakwa ia ditambah ‘ajinomoto’ serta ‘disolek’ pihak berkepentingan dalam parti itu.

Seorang ahli Biro Politik PKR yang juga peguam kepada Anwar ketika dihubungi Antarapos berkata pandangan Rafizi atau mana-mana pihak ketiga tidak penting.

Ujarnya, parti perlu melihat hasrat Anwar dan berusaha ke arah memperkasakan pembangkang demi menumbangkan Umno BN. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.