RCI: Nor Mohamed Yakcop `Diasak’ Mengenai Kerugian BNM Akibat Forex

Hari ini tiba giliran Tan Sri Nor Mohamed Yakcop memberikan keterangan di depan panel Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat menyiasat mengenai kerugian yang dialami oleh Bank Negara Malaysia (BNM) akibat urus niaga matawang asing (Forex) pada awal 1990-an.

Seperti yang dijangkakan, kehadiran beliau menjadi tumpuan kerana sepanjang prosiding RCI itu berlangsung, saksi-saksi yang terdiri daripada bekas pegawai kanan BNM menyebut nama beliau.

Ia termasuk salah seorang bekas peniaga mata wang asing BNM, Fizaman Noor Mohammed Nasir mendedahkan pernah membuat urus niaga Forex sebanyak US$800 juta (RM2 bilion ikut tukaran matawang ketika itu) sehari meskipun had maksimum untuk beliau adalah US30 juta dolar.

Dan Fizaman memberitahu urusan itu dilakukan atas arahan penasihat BNM ketika itu, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Disebabkan kebanyakan saksi menyebut mereka menerima arahan daripada beliau, maka sidang pada hari ini menyaksikan bagaimana pegawai pengendali RCI, Datuk Suhaimi Ibrahim berulang kali bertanyakan soalan mengenai kerugian berkenaan.

Suhaimi menekankan kenapa kerugian Forex tidak dikesan lebih awal dan bagaimana beliau mahu menerangkan mengenai kerugian tersebut?

“Kita sedang mencari jawapan ketika ini. BNM ada penasihat, timbalan gabenor, gabenor dan lembaga pengarah namun bagaimana ia (kerugian) itu berlaku,” tegasnya.

Bagaimanapun ketika memberikan keterangan itu, Nor Mohamed memberitahu beliau tidak menafikan kerugian Forex berlaku dan menerima tanggungjawab terhadap kerugian itu dengan meletak jawatan dari BNM.

“Tidak dapat dinafikan, kerugian forex berlaku. Tidak dapat dinafikan kebertanggungjawaban saya dalam perkara itu. Saya menerima ‘bahagian saya’ dan meletakkan jawatan daripada Bank Negara.

“Ketika itu, ia seperti pengakhiran yang menyedihkan untuk 25 tahun khidmat saya kepada negara melalui BNM,” katanya yang menjadi penasihat kepada BNM.

Nor Mohamed juga pernah menjadi Menteri Kewangan kedua pada 2004 hingga 2008.

Ketika skandal kerugian Forex itu berlaku, Nor Mohamed memberitahu beliau tidak pernah berbincang dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim mengenai urus niaga Forex yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia.

Menyentuh mengenai perkara itu, Suhaimi sekali lagi bangun dan bertanya soalan kepada Nor Mohamed, adakah beliau tidak dipilih oleh Mahathir untuk menyelesaikan masalah yang dialami oleh BNM.

Sedangkan pada 1997, ketika negara berdepan dengan krisis ekonomi, Nor Mohamed telah dipilih oleh Mahathir untuk berdepan dengan penyangak matawang, George Soros.

Namun Nor Mohamed memberitahu tidak.

Prosiding RCI ditangguhkan hari ini dan esok, Anwar dijangka memberikan keterangan. Sudah pasti keterangan beliau akan dinantikan ramai apatah lagi ketika itu beliau merupakan Menteri Kewangan.- Suara.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.