Penganiayaan Sistematik Penduduk Minoriti Islam Meningkat Di Seluruh Myanmar

YANGON – MYANMAR. Penganiayaan sistematik terhadap penduduk minoriti Islam telah meningkat di seluruh Myanmar dan tidak hanya terhad di negeri Rakhine yang baru-baru ini menyaksikan hampir 90,000 etnik Rohingya melarikan diri, menurut kumpulan hak asasi, semalam.

Badan bebas, Burma Human Rights Network terbabit mendakwa tindakan itu turut disokong kerajaan dan kumpulan awam ultra-nasionalis.

“Peralihan kepada demokrasi telah membenarkan prasangka popular untuk mempengaruhi peraturan baharu kerajaan dan menguatkan satu naratif berbahaya yang meletakkan orang Islam sebagai individu asing di negara itu yang didiami penduduk majoriti Buddha,” menurut laporan kumpulan itu.

Sementara itu, sebuah suruhanjaya bebas di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga mengutuk sekeras-kerasnya pelanggaran hak asasi manusia ke atas penduduk Islam Rohingya.

Suruhanjaya Bebas Hak Asasi Manusia (IPHRC) itu turut menggesa negara OIC terutamanya negara jiran Myanmar supaya mendesak Yangon menegakkan kewajipan untuk mempromosikan dan melindungi hak asasi kumpulan minoriti tersebut.

Gesaan itu diperbaharui bagi membenarkan misi mencari fakta dan penubuhan pejabat OIC untuk agihkan bantuan kemanusiaan di Rakhine. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.