Peguam: Perancang Perkahwinan Akan Bayar Ganti Rugi

Syarikat perancang perkahwinan, Zurin Jundi akan membayar ganti rugi kepada pelanggannya yang tidak menerima perkhidmatan memuaskan atas faktor kecuaian, kata peguamnya Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar.

Beliau berkata anak guamnya yang menjalankan perniagaan selama 10 tahun akan menyusun jadual pembayaran secara berkala kepada 91 pelanggan terlibat, rata-ratanya bakal pengantin.

“Kami sekali lagi meminta maaf di atas kesalahan yang tidak disengajakan dan berjanji untuk membayar setiap ganti rugi kes-kes kecuaian yang telah berlaku,” katanya dalam media yang turut dihadiri pengasas syarikat perancang perkahwinan itu di Klang semalam.

Muhamad Akmal Arif mengulas laporan media berhubung puluhan bakal pengantin mendakwa diperdaya menerusi pakej perkahwinan ditawarkan syarikat berkenaan, yang melibatkan kerugian hampir RM500,000.

Kejadian mereka ‘menyerbu’ syarikat itu tular di media sosial berikutan dakwaan kegagalan syarikat perancang perkahwinan itu memenuhi tawaran pakej dijanjikan termasuk sajian makanan, pelamin dan gambar perkahwinan.

Muhamad Akmal Ariff berkata pemerhatian awal pihaknya mendapati syarikat yang beroperasi sejak 2007 disabotaj beberapa individu dan pihaknya akan memfailkan saman sivil ke atas lima hingga enam individu yang dipercayai mensabotaj perniagaan sehingga menjejaskan nama baik syarikat perancang perkahwinan itu.

Berikutan kes itu, pemilik syarikat perancang perkahwinan itu direman dua hari bermula Khamis lepas bagi membantu siasatan.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.