PAS Punca Umat Islam Berpecah Belah, Kata Dr Mahathir

SHAH ALAM – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi melontar tuduhan-tuduhan tajam ke arah PAS, sekali gus menuduh parti itu menyebar ajaran Islam yang menjadikan penyokong parti itu taksub kepada pemimpin tertentu.

“Sebagai seorang Muslim, saya rasa PAS beri tanggapan tentang Islam yang mana bertentangan dengan ajaran Islam. Tapi (PAS) berjaya dalam memecahkan orang Islam kepada dua entiti berbeza.

“Ini bukan amalan dalam Islam tapi rakyat menjadi taksub kepada pemimpin, bukan kepada ajaran Islam. Kita lihat sejarah dalam agama, rakyat cenderung kepada pemimpin mereka, tidak kepada ajaran agama. Sebab itu ada berapa kumpulan berbeza disebabkan pengajaran, bukan disebabkan agama asal.

“Agama membawa umatnya bersama-sama, tapi pengajarnya cenderung untuk pecahkan kerana alasan peribadi,” katanya dalam program interaktif bersama pelayar sebuah portal yang disiarkan secara langsung sebentar tadi.

Program itu turut menampilkan pemimpin yang pernah menjadi seteru Dr Mahathir, iaitu Penasihat DAP Lim Kit Siang.

DAP bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan Dr Mahathir, PKR dan Amanah menubuhkan Pakatan Harapan (PH) yang memutuskan minggu lalu tidak akan bekerjasama dengan PAS yang dari awal lagi menolak permuafakatan yang cuba di usahakan oleh PKR dengan restu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr Mahathir sebelum ini beberapa kali menyerang pemimpin PAS, khususnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, malah mengaitkan beliau kepada politik wang dan mesra Umno.

Tuduhan-tuduhan itu disanggah oleh Hadi yang menuduh Dr Mahathir sebagai hanya taksub untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak secara tidak demokratik demi agenda peribadinya.

Hari ini Dr Mahathir sekali lagi mensasarkan parti pimpinan Hadi yang menurut mantan perdana menteri itu, penyebab perpecahan umat Islam di negara ini.

“Dan di sini Malaysia, ini yang terjadi kerana PAS menggunakan Islam, mereka berjaya bahagikan Muslim di Malaysia. Orang Melayu dalam golongan sama pengikut Imam Syafie, sebelum kedatangan PAS, tiada perpecahan di kalangan orang Muslim di Malaysia, mereka semua satu di bawah mazhab yang sama,” katanya lagi.

Sementara itu, Kit Siang berkata PH kini perlu bekerja keras dalam mendekati ahli PAS untuk menarik mereka bersama gabungan itu, tambahan selepas parti itu di bawah kepimpinan Hadi yang dakwanya berbeza dengan pemimpin parti terdahulu.

“PAS di bawah kepimpinan Hadi sangat berbeza daripada Nik Aziz, Fadzil Nor mahupun Yusof Rawa, yang mana pendekatan mereka lebih inklusif dan lebih bertolak ansur,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.