Niat Fauziah Mahu Membantu Terbantut

PELAKON veteran, Fauziah Nawi kecewa apabila ada pihak memandang sinis akan usahanya menjayakan kempen untuk membantu warga kerja industri penerbitan dan perfileman tempatan yang kini berada di dalam kesusahan.

Kempen diberi tema Misi Kemanusiaan Karyawan Seni itu dilakukan selepas pihaknya mengetahui ramai pekerja industri penerbitan filem dan drama hidup merempat dan tiada tempat tinggal kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.

Kata Fauziah, dia mengetahui masalah dihadapi beberapa pekerja industri penerbitan filem dan drama menerusi seorang rakan yang juga bekerja sebagai pengurus produksi, Natili Shamsudin.

“Natili sendiri berhadapan dengan masalah kewangan apabila di dalam buku akaunnya sekarang hanya ada RM1.60. Saya mengetahui perkara itu apabila kami mahu menggunakan akaunnya untuk mewujudkan tabung sementara bagi membantu rakan memerlukan sebelum tabung Misi Kemanusiaan Karyawan Seni sebenar dibuat,” katanya.

Jelas Fauziah, ada beberapa pihak berasakan usaha untuk membantu itu tidak perlu kerana kesusahan dihadapi pekerja industri penerbitan filem dan drama berpunca daripada diri mereka sendiri.

“Saya sedih apabila ada yang mengata rakan-rakan sedang berada dalam kesusahan. Secara logiknya siapa yang mahu hidup susah. Perkara ini berlaku disebabkan pekerja filem biasanya bekerja berdasarkan projek.

“Kalau projek hanya dua bulan dan tujuh bulan selebihnya tiada tawaran kerja bagaimana mereka hendak hidup. Bayaran untuk pekerja penerbitan drama dan filem pula tidak tinggi,” katanya.

Jelas Fauziah, dia sendiri kini sedang membantu dengan menempatkan seorang pekerja penerbitan filem dan drama bersama keluarganya di studio Sanggar Teater Fauziah Nawi (STEFANI) kerana dihalau dari kediamannya disebabkan sudah beberapa bulan tidak dapat membayar sewa.

“Bukan itu saja, saya juga diberitahu ada beberapa orang lagi pekerja industri yang kini sedang sakit tetapi tidak mempunyai duit untuk mendapatkan rawatan sempurna,” katanya.

Bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secepat mungkin, Fauziah turut meminta bantuan beberapa orang penggiat seni seperti Pengarah Urusan Zeel Production, Md Fadzil Teh; Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli dan Pengarah, Murali Abdullah untuk menggerakkan kempen Misi Kemanusiaan karyawan Seni di peringkat awal, dengan diketuai oleh Natili sendiri.

“Saya secara peribadi hanya membantu setakat yang termampu, namun dalam mencari jalan dan usaha untuk mengumpul wang saya akan mengadakan persembahan teater solo di STEFANI,” katanya.

Fauziah akan mementaskan teater Komedi Berdiri Bulu Roma? dijadualkan berlangsung pada 8 dan 9 September ini, jam 9 malam. Dengan bayaran RM100, orang ramai boleh menonton sambil menderma kerana akan diserahkan sepenuhnya kepada tabung kempen Misi Kemanusiaan Karyawan Seni.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.