MRT3: Projek Akan Diawalkan Sebelum Tempoh Masa

Projek Transit Aliran­ Massa Jajaran Ketiga (MRT3) kini berada pada peringkat awal perbincangan bersama beberapa pihak berkepentingan, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata pihaknya berpandangan projek infra rakyat bertaraf dunia seumpama itu perlu disegerakan walaupun projek MRT2 akan siap sepenuhnya pada 2024 dan akan disusuli dengan MRT3 pada 2027.

“Melihat kepada faedah yang diperoleh daripada projek sebelum ini (perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), KTM Komuter, KL Monorail serta jajaran MRT1 dan MRT2), pihak kami merasakan ada baiknya kita laksanakan projek MRT3 sebelum tempoh masa ditetapkan.

“Ini kerana tempoh masa projek mengambil masa lima tahun. Dan sekarang 2017, kami sudah boleh mula merancang bermula sekarang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Pengangkutan Bandar Mampan 2017 di ibunegara semalam.

Fasa pertama MRT membabitkan laluan Sungai Buloh-Semantan sepanjang 21km, mula beroperasi pada 16 Disember tahun lalu.

Operasi fasa kedua MRT laluan Semantan-Kajang yang dilancarkan pada 17 Julai lepas melengkapkan jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK) sepanjang 51km merentasi 31 stesen, termasuk tujuh stesen bawah tanah.

Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang berintegrasi dengan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), Monorail dan KTM Komuter.

MRT3 akan melalui kawasan yang berkapasiti tinggi sekitar Greater KL dan akan menghubungkan lebih banyak stesen sedia ada bagi melengkapkan jaringan pengangkutan awam di ibu negara.

Menurut Liow, pihaknya sebelum ini telah berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai perkara itu dan Najib turut senada dengan cadangan untuk menyegerakan projek MRT3 sebelum tiba tempoh masa ditetapkan.

“Apapun kami perlu mengambil kira pendapat pihak lain antaranya Unit Perancangan Ekonomi, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat dan Jabatan Perdana Menteri. Saya yakin projek MRT (1,2 & 3) berkeupayaan untuk menampung orang ramai,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan pembukaan sidang kemuncak itu, Liow berkata pengangkutan bandar yang mampan adalah agenda nasional untuk komuniti yang lebih baik serta aspek penting dalam pembangunan negara.

“Dengan perancangan rangkaian pengangkutan yang kukuh dan teliti, kita boleh mewujudkan lebih banyak bandar berorientasikan koridor, dengan lebih banyak rangkaian transit massa, mengurangkan jarak pengangkutan dan lebih dekat dengan stesen pengangkutan,” katanya.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.