Khalid Bukan Bekas IGP Pertama Masuk Bidang Korporat

Lantikan bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai Pengerusi Prasarana menjadi mainan politik pemimpin pembangkang yang menganggap beliau tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pengangkutan.

Antara yang mempertikaikan lantikan Khalid adalah Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming menerusi laman mikro twitternya.

“Adakah @KBAB51 (Khalid) mempunyai kepakaran dalam pengangkutan awam yang kita tidak sedar?” tulis ahli parlimen DAP itu.

Menjawab soalan berkenaan, penganalisis politik, Kapten (B) Abdul Rahmat Tun Hanif berkata jawatan disandang Khalid bukanlah jawatan eksekutif yang melibatkan pembuatan keputusan dan mengawal selia operasi harian Prasarana.

“Saya tidak menyalahkan Ong Kian Ming kerana memaparkan kebodohan seperti itu. Jika tidak mengapa beliau memilih DAP sebagai platform politiknya?

“Bagi yang bertanyakan soalan sama, Pengerusi Prasarana adalah jawatan bukan eksekutif. Khalid tidak perlu terlibat dalam operasi harian GLC (syarikat berkaitan kerajaan). Pernah dengar Ketua Pegawai Eksekutif? Ya, dialah orang yang menguruskan syarikat,” jelas Abdul Rahmat dipetik blognya, Seademon Says.

Naib Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) Andrew Tiong Yap Choon turut melontarkan soalan sama, dan sebagai anak kepada bekas KPN ke-4, Abdul Rahmat menjelaskan bahawa bapanya menyertai korporat setelah bersara daripada pasukan polis pada 1994.

“Kamu pernah dengar Park May Berhad? Selepas diuruskan oleh bekas polis pada 1996 syarikat akhirnya berubah dan buat pertama kalinya pemandu menikmati bonus.

“Hanya pada 2007 semasa gabungan syarikat bas yang menyebabkan Park May diambil alih oleh Konsortium Transnasional Berhad,” balas komen Abdul Rahmat menerangkan khidmat Tun Hanif sebagai ahli korporat kepada kenyataan Andrew di Facebook.

Selain meneraju Park May sebagai Pengerusi, Tun Hanif juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Maxis Communication Berhad, General Corporation Berhad, Timbalan Pengerusi Genting Berhad dan Resort World Berhad, selain ahli lembaga pengarah di AMMB Holdings dan AMFB Holdings.

“Mungkin beliau (Andrew) perlu mengkaji selidik berkaitan lantikan Khalid. Beliau mungkin boleh dapat jawapan mudah daripada Presiden parti M Kayveas, yang kini merupakan Penasihat Khas di Kementerian Pengangkutan.

“Jika beliau tidak mempunyai akses penuh terhadap Kayveas, maka mungkin beliau tanya (CEO Air Asia) Anthony Francis Fernandes apa yang beliau tahu akan perniagaan penerbangan selepas melompat keluar daripada industri muzik?

“Atau tanya sahaja budak ‘Estate’ Benta, Kayveas, apa yang dia tahu mengenai pengangkutan sehinggakan beliau dilantik sebagai penasihat di Kementerian Pengangkutan sedangakan beliau tidak mempunyai pengalaman?

“Pandai bermakna tahu soalan yang ingin ditanya. Bijak adalah tahu bila soalan perlu diajukan. Malangnya, ramai tiada kedua-duanya,” tulis Abdul Rahmat lagi. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.