Kerajaan Komited Teruskan Pembangunan Kawasan Luar Bandar – TPM

JELI – Kerajaan persekutuan terus komited membangunkan kawasan luar bandar meskipun negeri terlibat ditadbir pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha tersebut memperlihatkan komitmen kerajaan persekutuan dalam memberi kemudahan kepada rakyat dan ia bukan hanya sekadar janji dalam manifesto.

“Ia pelaksanaan terhadap aku janji dan sebagai satu komitmen yang pernah dibuat sebelum dilaksanakan sepenuhnya, ” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Timbalan Perdana Menteri bersama mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Canselor UMK, Datuk Dr Mortaza Mohamed dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, proses membangunkan kawasan luar bandar itu juga tanda prihatin kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada semua golongan tanpa mengira fahaman dan latar belakang.

“Sebagai contoh, tiga kampus UMK yang diwujudkan di Jeli, Bachok dan Pengkalan Chepa, membuktikan bagaimana proses urbanisasi dilakukan dengan pesat di kawasan luar bandar, ” katanya.

Beliau berkata, kewujudan kampus di kawasan luar bandar adalah pemangkin kepada pembangunan ekonomi selain mempertingkatkan tahap sosial dan taraf hidup penduduk setempat.

Sementara itu, lebih 1,800 mahasiswa baharu UMK mendaftar semalam melibatkan tiga kampus (Jeli, Bachok dan Pengkalan Chepa). – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.