Fattah Amin Pernah Ditegur Peminat

STATUS sebagai selebriti bukan sahaja memerlukan seseorang itu tampil dengan imej yang bersih dan kemas.

Apatah lagi, ada antara peminat menjadikan selebriti kegemaran mereka sebagai ikon dalam berfesyen.

Atas faktor itu mendorong juara Hero Remaja yang juga bintang terkenal, Fattah Amin menjaga imej dan kebersihan diri kerana menyedari peminat sentiasa memerhatikan penampilannya dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Jelas Fattah, aspek penjagaan diri itu tidak terhad kepada wanita sahaja, tetapi lelaki juga seharusnya juga mementingkan penjagaan dan kebersihan luaran dan dalaman.

“Sebagai selebriti, saya tidak nafikan, peminat memerhatikan kita dari hujung rambut hingga hujung kaki.

“Bayangkan hanya melalui posting saya di media sosial sahaja, peminat boleh menyedari kuku saya panjang, rambut saya panjang dan mereka akan meminta saya untuk memotong bagi kelihatan lebih kemas.

“Atas faktor itu juga membuatkan saya lebih peka dengan penjagaan diri termasuklah meluangkan masa di spa atau salon untuk merapikan diri,” katanya ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta Maydan.

Tambah jejaka berusia 27 tahun ini, tidak hanya menjadi perhatian peminat, dia juga perlu menjaga penampilan agar sesuai dengan statusnya sebagai duta kepada sesetengah produk penjagaan diri.

“Tidak dinafikan bila sudah bergelar duta dan jurucakap kepada sesetengah produk kecantikan atau penjagaan diri, pasti saya perlu menjaga penampilan dan kebersihan.

“Sehinggakan kalau shooting, saya pastikan tidak terlalu terdedah kepada cahaya luar agar warna kulit saya tidak berubah.

“Tapi saya tidak rasa terbeban dengan semua itu kerana bagi saya itu kerja saya,” katanya.

Untuk rekod, Fattah merupakan duta dan jurucakap untuk lebih dari lapan produk kecantikan, antaranya Safi Men, Oli Candy dan terbaru produk penjagaan rambut Maydan.

Dalam perkembangan lain, Fattah yang kini sibuk dengan penggambaran drama Coffee Prince mendedahkan, dia merancang untuk memperlahankan karier seninya tahun hadapan bagi memberi tumpuan terhadap perniagaan.

“Saya dah lama fikir dan merancang untuk memperlahankan karier, tapi tidaklah secara mendadak, cuma mungkin tidak segalak sekarang.

“Ada beberapa perancangan yang mahu saya lakukan dan sekiranya jadi, saya rasa tahun depan adalah masa yang paling sesuai,” jelasnya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.