Cubaan 19 Suspek Pengganas Sabotaj Penutup Sukan SEA KL2017 Digagalkan – KPN

KUALA LUMPUR – Seramai 19 suspek pengganas berjaya ditahan di empat buah negeri antara 4 Julai sehingga 30 Ogos lalu, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun.

Antara ditangkap termasuklah rangkaian kumpulan pengganas Abu Sayyaf yang berdasarkan maklumat dipercayai mahu melancarkan serangan ketika acara penutup Sukan SEA dan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu.

“Suspek utama dikenal pasti warga asing yang berusia 25 tahun dikesan menyusup masuk ke Sandakan, Sabah dari selatan Filipina sebelum menuju ke Kuala Lumpur pada Disember 2015.

“Suspek pernah terlibat dalam pertempuran dengan tentera kerajaan Filipina dan menculik beberapa tebusan di negara itu,” kata Mohamad Fuzi dalam satu kenyataan rasmi di sini semalam.

Menurutnya, suspek pernah mengadakan pertemuan dengan pengganas dari Malaysia, Dr. Mahmud Ahmad, Najib Hussein dan Juraimee Awang di Filipina sebelum menyusup ke Malaysia.

“Maklumat turut mendedahkan bahawa suspek merancang melancarkan serangan semasa upacara penutup Sukan SEA di Stadium Nasional Bukit Jalil dan perbarisan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka,” katanya.

Pelbagai unit polis antaranya Pasukan Gerakan Am, Unit Tindakan Khas, Unit Forensik selain Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara terlibat dalam operasi berkenaan.

Kesemua suspek yang berusia antara 25 tahun sehingga 63 tahun itu ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas dalam operasi di sekitar ibu negara, Selangor, Johor dan Kelantan.

Selain rakyat Filipina tersebut, polis turut menangkap 10 warganegara asing lain termasuk daripada Bangladesh, Maldives, Iraq dan Palestin yang ada kaitan dengan rangkaian pengganas Daesh.

“Lapan lagi merupakan warga Malaysia turut ditangkap dan kesemua 19 mereka disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Sosma),” ujar Mohamad Fuzi. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.