Anwar Dijangka Beri Keterangan Dalam RCI Forex Esok

Esok giliran Anwar Ibrahim untuk memberikan keterangan di depan panel Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat mengenai kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) pada sekitar awal 90-an.

Ketika itu, Anwar merupakan Menteri Kewangan dalam kabinet Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Menurut senarai saksi, beliau akan memberi keterangan esok,” kata peguam Anwar, R. Sivarasa kepada wartawan pada hari kelima siasatan RCI di Putrajaya hari ini.

Anwar, kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di penjara Sungai Buloh. Beliau menyifat amat menyedihkan jika siasatan ini ditutup tanpa mendengar keterangan daripadanya.

Nama beliau sebelum ini disebut beberapa saksi dalam prosiding RCI itu termasuk bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid yang memaklumkan kepada RCI bahawa beliau telah memberikan penjelasan mengenai kerugian forex kepada Anwar pada awal 1994.

Bagaimanapun Abdul Murad berkata, Anwar sebagai Menteri Kewangan ketika itu, memberi komen sekiranya kerugian sebenar urus niaga forex Bank Negara Malaysia didedahkan kepada umum, beliau perlu meletak jawatannya.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta saya untuk turut serta dalam penerbangan beliau ke Hawaii untuk memberi penjelasan mengenai kerugian urus niaga forex seperti yang diarahkan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) ketika itu Tan Sri Jaffar Hussien,” katanya ketika memberikan keterangan pada 21 Ogos lalu.

Prosiding yang diadakan secara terbuka kepada orang ramai itu dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Mohd Sidek yang juga Pengerusi Petronas, dibantu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Seri Tajuddin Atan, pengerusi bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) Tan Sri Saw Choo Boon dan anggota Institut Akauntan Malaysia K. Puspanathan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.