Sofea Ilias Mengaku Kembali Jadi Mak Nyah

KUALA LUMPUR ― Jutawan mak nyah Sofea Ilias mengakui semalam telah kembali dengan identiti transgender beliau, mengakui “terlampau penat” apabila masih dihina dan dikecam walaupun cuba hidup dengan identiti lelaki.

 

Menurut Sofea, yang menggunakan nama Safiey semasa hidupnya sebagai lelaki, beliau rindu dirinya yang kuat dan tidak mudah mengalah sebagai seorang wanita transgender, dan menyeru agar orang ramai membiarkannya hidup sebagai diri sendiri.

 

“Saya sebenarnya dah terlampau penat untuk menjadi baik dengan kembali kepada fitrah. Sebab apa jua yang saya buat masih ada orang tetap tak puas hati dan mempertikai.

 

“Saya jadi pondan orang hina, saya jadi lelaki pun orang hina dan orang pertikai,” luah Sofea dalam satu coretan awam di laman Facebook peribadinya.

 

Menurut Sofea, terdapat mereka yang menuduhnya “menunggang agama” untuk tujuan perniagaan semasa “penghijrahannya”.

 

Malah, ada juga yang menyoal di mana misai dan janggutnya, kata Sofea lagi.

 

“Saya dah penat nak layan dan hadap tohmahan kamu semua. Bila saya jadi baik pun orang bercakap.

 

“Biarlah saya menjadi diri sendiri dan gembirakan diri saya ikut cara saya,” tambahnya, mengakui berasa tenang apabila tiada lagi yang menyoal identitinya.

 

Sofea, pemilik DSI Empire, mengusahakan produk-produk kecantikan kulit Aurora, WisPutih dan Perlaking.

 

Beliau sebelum ini dilaporkan kembali dengan identiti lelaki sekitar Disember tahun lalu apabila mula mendekatkan diri dengan kumpulan dakwah tabligh.

 

Dilahirkan sebagai Safiuddin Ilias, 22, beliau juga dilaporkan mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur pada 15 April lalu selepas membuat payudara palsu pada umur 19 tahun.

 

“Transgender” atau “mak nyah” merupakan istilah yang digunakan untuk merujuk kepada mereka yang dilahirkan lelaki tetapi lebih selari dengan identiti wanita, dan tidak berkait dengan kecenderungan seksual. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.