Slogan ‘Suara Rakyat Suara Keramat’ Belakangi Konsep Ketuhanan – Hadi

KUALA LUMPUR – PKR disifatkan PAS membelakangi konsep Tauhid dalam Islam iaitu tuhan yang satu menerusi slogannya ‘suara rakyat adalah suara keramat’.

 

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, slogan PKR itu mengangkat individu dalam sesebuah kelompok sebagai diktator yang ditentang oleh Islam.

 

Maka Islam menolak diktator yang bertuhankan individu atau kelompok atau rakyat, termasuk yang bertopengkan demokrasi, kononnya suara rakyat adalah suara keramat seperti Tuhan atau Teokrasi yang bertuhankan agamawan yang bertopengkan agama.

 

“Semuanya menjadikan dirinya seperti Tuhan, rakyatnya sebagai hamba. Termasuk menjadikan harta dan segala khazanah negara sebagai miliknya yang boleh diambil dengan apa-apa cara dan menggunakannya tanpa batas sempadan halal dan haram,” katanya dipetik Harakah Daily.

 

Hadi berkata demikian dalam tulisannya bertajuk ‘Inilah Penyelesaiannya’ slogan PKR itu sering diucapkan wakil rakyat parti berkenaan pada ceramah dan perhimpunan awam.

 

Katanya, setiap individu termasuk permimpin berpangkat raja atau ketua negara dilarang diberi kekebalan mengatasi undang-undang sehingga individu berkenaan boleh berlagak seperti Tuhan.

 

“Akidah Tauhid dengan mengesakan Allah sahaja Tuhan yang diibadatkan kepadanya dengan jasad, roh dan akal. Ini menjadikan manusia itu tidak berlagak menjadi Tuhan apabila berkuasa memerintah negara, atau diberi nikmat kehidupan berpangkat atau berharta.

 

“Dengan tegas menolak syirik dengan maksud yang menyeluruh, bukan sahaja diharamkan menyembah berhala atau patung, termasuk juga makhluk yang lain, termasuk sesama manusia, dan juga tidak mengadakan undang-undang sendiri dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah,” katanya lagi. – Malaysian Digest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.