Lebih 300 Pasport Diperbaharui Secara Talian Sejak 1 September

PETALING JAYA – Lebih 300 pasport diperbaharui menerusi sistem secara dalam talian, MyOnline Pasport selepas lima hari pelaksanaannya sejak 1 September lalu.

 

Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pasport Jabatan Imigresen, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad berkata, sistem berkenaan masih lagi dalam peringkat percubaan bagi memastikan kelancaran sepanjang proses permohonan.

 

Mengenai jumlah pasport yang diperbaharui setakat ini adalah kecil, katanya, ia disebabkan sistem pembaharuan pasport itu masih dianggap baharu di kalangan orang ramai.

 

“Ramai yang masih tidak menyedari tentang kemudahan ini, tetapi bilangan permohonannya dijangka meningkat kerana memperbaharui pasport secara online adalah lebih selesa, mudah dan menjimatkan masa,” katanya kepada mStar Online.

 

Mohd Zulfikar berkata, antara perubahan yang dapat dilihat menerusi pelaksanaan MyOnline Pasport adalah kesesakan di kaunter semakin berkurangan.

 

“Saya percaya kesesakan di kaunter dapat dikurangkan lagi apabila semakin ramai membuat pembaharuan pasport secara online dan selepas kaunter serahan pembaharuan pasport akan diperluaskan ke seluruh negara pada masa akan datang,” katanya. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.