Industri Muzik Makin Tenat – Saari Amri

KUALA LUMPUR – Industri muzik tempatan ketika ini berada pada tahap kritikal berikutan kemunculan laman web yang menyediakan pautan muat turun lagu atau album secara percuma kepada orang ramai.

 
Komposer dan penulis lirik, Saari Amri menyifatkan ledakan teknologi menerusi lambakan laman web yang memberi kemudahan kepada orang ramai memuat turun karya pemuzik tempatan itu menyebabkan jualan album pada masa kini mengalami kemerosotan mendadak.

 

Katanya, jualan album di pasaran kini hanya mencecah jualan tidak kurang 10,000 unit berbanding pada era 90-an dengan kebanyakan album mampu terjual sebanyak ratusan ribu unit.

 

Bercakap kepada Bernama, Saari berkata, situasi itu ternyata memberi impak buruk kepada industri muzik tempatan dan mendorong kebanyakan syarikat rakaman hanya menerbitkan single kerana tidak berani melabur untuk menghasilkan album baharu untuk penyanyi tempatan.

 

“Jika dahulu, album yang diterbitkan saya untuk kumpulan Ukays bertajuk Bisa Berbisa mampu merekodkan jualan tertinggi sebanyak 400,000 unit namun realitinya berubah pada masa sekarang.

 

“Dulu kalau album itu hanya mencatat jualan 10,000 unit, dianggap gagal, namun sekarang nak cecah jualan sebanyak itu pun ‘sakit’, malah banyak kedai muzik terpaksa menutup premis mereka kerana orang ramai tidak berminat lagi membeli album di pasaran,” kata Saari.

 

Pencipta lagu ‘berhantu’ Gerimis Mengundang oleh kumpulan Slam, pada tahun 1996 itu berkata, lebih menyedihkan, perkembangan itu juga menghimpit pemuzik tempatan yang tidak menerima sebarang royalti bagi karya mereka apabila dimuat turun orang ramai melalui laman web yang menawarkan muat turun lagu secara percuma.

 

Oleh itu, beliau yang pernah terbabit menghasilkan lagu untuk penyanyi dan band terkenal seperti Ziana Zain, Nike Ardilla dan Umbrella berharap pihak berwajib perlu memperkenalkan lesen kepada laman web itu dalam memastikan pemuzik, komposer dan penulis lirik menerima ganjaran berkenaan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.