Operasi Cari Remaja Ireland Diteruskan Hari Ini

SEREMBAN – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang dilaporkan hilang di The Dusun, Pantai, dekat sini, sejak pagi Ahad lalu, diteruskan pada jam 7.30 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, berkata operasi SAR yang kini memasuki hari ketiga itu disertai lebih 130 anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Perhutanan negeri dan penduduk tempatan.

“Operasi SAR diteruskan. Lebih 130 anggota terdiri daripada pelbagai agensi keselamatan terbabit dalam misi pada pagi ini.

“Jumlah itu ditambah dengan beberapa anggota yang masih meneruskan pencarian pada malam tadi,” katanya selepas sesi taklimat pegawai dan anggota operasi SAR di Balai Polis Pantai, di sini, hari ini.

Polis dijangka mengadakan sidang media di Balai Polis Pantai bagi memaklumkan perkembangan SAR pada jam 4.30 petang ini.

BH sebelum ini melaporkan seorang remaja perempuan warga Ireland yang mengalami masalah lembam dilaporkan hilang dari tempat penginapan keluarganya di sebuah pusat peranginan di Kampung Pantai, di sini.

Kehilangan Nora disedari keluarganya kira-kira jam 8 pagi tadi sebelum membuat laporan polis.

Remaja terbabit bersama keluarganya sedang bercuti dan mendaftar masuk ke pusat peranginan itu semalam.

Usaha BH untuk menemubual keluarga mangsa sehingga kini gagal apabila pemberita tidak dibenarkan memasuki kawasan resort itu dan ahli keluarga mangsa enggan menemui pihak media.

Dalam pada itu, polis malam semalam menafikan kehilangan mangsa adalah akibat dilarikan atau diculik kerana hasil siasatan di bilik penginapannya mendapati tiada unsur jenayah.

Sehingga semalam, polis menambah kekuatan anggota dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) terbabit serta meluaskan kawasan pencarian mangsa dari 4.9 hektar yang sudah dilakukan. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.