Rafizi Bimbang Kerajaan PH Masih Mahu Teruskan Projek Kereta Nasional Ketiga

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR Rafizi Ramli melahirkan kebimbangan terhadap cadangan kerajaan untuk melancarkan projek kereta nasional ketiga menjelang tahun 2020.

Rafizi berkata, kebimbangan beliau berasaskan tentangan yang jelas daripada rakyat terhadap projek tersebut.

“Saya ingin melahirkan rasa bimbang sekiranya Kerajaan Persekutuan secara berterusan mahu meneruskan projek ini dalam keadaan tentangan rakyat terhadapnya adalah jelas.

“Pakatan Harapan dipilih atas platform untuk mengurangkan beban sara hidup rakyat. Sementara rakyat masih memberi peluang kepada Pakatan Harapan untuk melaksanakan janji-janji manifesto, melaksanakan sesuatu yang tidak popular dan bertentangan dengan tawaran Pakatan Harapan akan mengundang rasa sinis rakyat,” kata Rafizi.

Rafizi berpandangan usaha untuk menubuhkan perusahaan kereta nasional yang ketiga akan mendatangkan kesan kewangan yang besar kepada rakyat termasuk jumlah pelaburan yang bakal dibuat menggunakan dana awam.

Beliau turut mempersoalkan adakah kerajaan berhasrat menghapuskan cukai eksais untuk mengurangkan harga kereta apabila kereta nasional ketiga dilancarkan.

“Apabila Menteri Pembangunan Usahawan telah menetapkan tempoh masa yang khusus iaitu pelancaran projek kereta nasional ketiga menjelang tahun 2020, saya tertanya-tanya sama ada satu perancangan khusus yang menilai kesan kewangan kepada negara telah dijalankan?

“Untuk mengurangkan sindiran dan serangan ke atas Kerajaan Persekutuan, saya menyeru supaya perkara ini dipertimbangkan semula,” kata Rafizi dalam satu kenyataan di Facebook.

Rafizi turut menyarankan cadangan tersebut dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan terlebih dahulu untuk mendapat persetujuan bersama parti-parti yang membentuk kerajaan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.